ASEAN : Mesyuarat HLTF-EI Ke-47 Bincang Perkembangan Ekonomi Serantau, Global
KOTA TINGGI, 24 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) ke-47 selama dua hari, bermula di Pusat Konvensyen Desaru Coast hari ini bagi membincangkan agenda strategik, termasuk perkembangan ekonomi di peringkat serantau dan global.
Acara dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob, mengumpulkan semua negara anggota ASEAN serta negara pemerhati Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN.
Selain itu, perbincangan juga menumpukan topik penting seperti agenda kemampanan ekonomi ASEAN, Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030.
Pada masa sama, mesyuarat itu dijangka mengukuhkan komitmen ASEAN dalam usaha mempercepat integrasi ekonomi serantau yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Sebelum sesi itu, Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 selama dua hari, berakhir semalam manakala Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) untuk Pemukiman AEM Ke-31 bersidang pada 26-27 Feb, 2025.
Kemuncak acara selama seminggu itu berlangsung pada 28 Feb, 2025, membabitkan sesi pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam sesi itu, barisan menteri berkenaan akan membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bertujuan memacu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.
Pemukiman itu adalah bersempena peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang memaparkan aspirasi Malaysia ke aras mewujudkan komuniti ASEAN yang lebih terangkum dan mampan.
Komitmen itu akan diterjemahkan menerusi usaha ke arah Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat melalui integrasi serantau yang mampan, keadilan sosioekonomi dan pembangunan saksama untuk memastikan kemampanan sertan kesejahteraan jangka panjang dalam semua aspek kehidupan.
-- BERNAMA