BERITA TERKINI   Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | JPA buka permohonan Opsyen Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) Fasa Kedua mulai 1 Julai | 

SSM, MOF, DOSM Dan CIDB Jalin Kerjasama Perkukuh Ketepatan Kod Bidang Perniagaan

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi memperkukuh ketepatan penggunaan kod bidang perniagaan menerusi portal SSM BizCodEX.

MoU itu bertujuan menyelaras kod bidang perniagaan agensi berkaitan, termasuk Kod Piawaian Klasifikasi Industri Malaysia (MSIC), Kod Bidang Bekalan dan Perkhidmatan MOF serta Kod Pengkhususan CIDB.

Dalam kenyataannya, SSM berkata kerjasama itu membolehkan keempat-empat agensi berkongsi kepakaran dan mengambil inisiatif secara kolektif bagi meningkatkan ketepatan kod berkenaan.

“Inisiatif ini akan menyumbang kepada keseragaman data perniagaan, memastikan maklumat lebih tepat dan boleh dipercayai dalam ekosistem perniagaan negara,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 1,463 Kod MSIC telah dipadankan kepada 432 Kod Bidang Bekalan dan Perkhidmatan MOF manakala 183 Kod MSIC dipadankan kepada 133 Kod Pengkhususan CIDB.

Pada majlis di Menara SSM@Sentral, MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz; Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan MOF Datuk Indera Ab Rahim Ab Rahman; Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial & Pembangunan Teknikal) DOSM Nazaria Baharudin dan Ketua Eksekutif CIDB Zainora Zainal yang disaksikan oleh Pengerusi SSM Ahmad Sabki Yusof.

Sementara itu, Ahmad Sabki berkata portal SSM BizCodEX yang dilancarkan pada 11 Nov, 2024, direka untuk membantu pemadanan kod bidang secara lebih sistematik dan seragam.

“Portal ini juga akan meningkatkan ketelusan serta kecekapan dalam perolehan kerajaan, pendaftaran kepakaran sektor pembinaan dan menyediakan analisis data yang komprehensif serta boleh dipercayai, sekali gus memudahkan perkhidmatan kepada komuniti perniagaan,” katanya. 

-- BERNAMA