BERITA TERKINI   Ketegangan sempadan Kemboja-Thailand : Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN ditangguhkan kepada Isnin (22 Dis) - Wisma Putra | Kerajaan yakin rundingan dengan kerajaan negeri Terengganu berhubung isu FGV akan dapat dicapai demi kepentingan peneroka - TPM Ahmad Zahid | 53.9 peratus lepasan SPM pilih sektor TVET, hampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir RMK13 - TPM Ahmad Zahid | Konflik Kemboja-Thailand: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual esok, ditangguhkan - PM Anwar | Rundingan sedang dijalankan bagi meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja – PM Anwar | 

Kerajaan Sarawak Sedia Bincang Skop Kerjasama Petros-petronas - Abang Johari

KUCHING, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menyifatkan langkah itu sebagai kolaborasi baik antara kedua-dua pihak, katanya beliau belum menerima sebarang makluman berkaitan tarikh perbincangan tersebut. 

“Kalau ada yang memanggil untuk berbincang, saya akan datanglah…yang penting ada (usaha untuk berbincang). Ia adalah kerjasama yang baik antara kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sebuah klinik pergigian di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata perbincangan tersebut menyentuh aspek kerjasama terutamanya melibatkan projek baharu yang akan diterokai oleh kedua-dua syarikat terbabit dalam apa jua bidang.

Isnin lepas, Anwar pada sesi penerangan di Dewan Rakyat berkata Kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

Perdana Menteri menjelaskan hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

-- BERNAMA