BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Skuad hoki negara raih emas acara berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pemain skuasy negara Noor Ainaa Amani Ampandi menang emas perseorangan wanita | Prestasi perdagangan Malaysia berkembang pada November 2025, dengan jumlah dagangan meningkat 11.1 peratus kepada RM263.8 bilion daripada RM237.4 bilion - DOSM | Eksport Malaysia meningkat 7.0 peratus kepada RM135.0 bilion pada November 2025 - DOSM | Kerajaan memberi diskaun tol 50 peratus kepada kenderaan persendirian pada 23 dan 24 Dis sempena sambutan Hari Krismas - Menteri Kerja Raya | 

Dividen KWSP Dijangka Lebih Baik Bagi Tahun 2024 - Amir Hamzah

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun lepas dijangka memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik bagi tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.

“Kalau kita tengok prestasinya sehingga suku ketiga tahun lepas, ia (prestasi) menggalakkan. Sehingga suku ketiga, ia (KWSP) dah dapat RM57.5 bilion (pendapatan pelaburan). Lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Oleh itu, insya-Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividen akan memberangsangkan. Namun, saya tak boleh komen apa dividennya. Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada 2023 iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional berbanding 5.35 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.

Bagi Simpanan Shariah, 5.40 peratus direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.

KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini.

Terdahulu, beberapa pakar ekonomi dan akademik menjangkakan dividen KWSP bagi tahun 2024 melebihi enam peratus.

Sementara itu, lebih 3,700 peserta menyertai Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF, yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 melibatkan penyertaan daripada kalangan warga MOF dan orang awam.

Pada program itu, Amir Hamzah bersama pengurusan tertinggi MOF berjaya menamatkan larian bagi kategori tiga kilometer.

Amir Hamzah berkata penganjuran acara larian itu bertujuan memberi pendedahan kepada warga MOF dan orang awam mengenai ASEAN dari aspek penubuhan, peranan dan kepentingan pertubuhan ASEAN kepada Malaysia dan negara anggotanya.

Selain itu, katanya pendedahan turut melibatkan aktiviti yang telah dan akan dijalankan sepanjang tahun ini terutamanya oleh MOF sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia melalui Trek Kewangan.

“Penganjuran larian ini juga dapat menyokong amalan hidup sihat terutamanya dalam kalangan warga kerja MOF. Ini amat bertepatan dengan nilai MADANI Kesejahteraan yang turut memberi penekanan kepada keseimbangan dalam kehidupan,” katanya.

-- BERNAMA