BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Ringgit Dijangka Cecah Paras Sokongan 4.36 Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Ringgit diunjur bergerak ke arah paras sokongan pada 4.36 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, dipacu oleh keyakinan terhadap pendekatan tarif kurang agresif oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Ini susulan kenyataan presiden itu mengenai potensi perjanjian perdagangan baharu AS-China dengan pasaran menjangkakan pendekatan lebih bersasar dan berperingkat terhadap tarif import tinggi.

Trump juga dilaporkan menjangkakan Presiden China Xi Jinping mengunjungi AS walaupun beliau tidak memberikan sebarang maklumat mengenai garis masa lawatan itu.

Pada Selasa, Rusia dan AS bersetuju memulakan usaha ke arah perjanjian damai dengan kedua-dua pihak bersetuju membentuk pasukan peringkat tertinggi untuk menyokong rundingan damai berkenaan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid melihat perkembangan itu sebagai positif selain usaha Trump menamatkan peperangan di Ukraine.

“Jika momentum positif ini berterusan, ringgit dijangka bergerak mengukuh. Namun, beberapa pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) dijadual berucap di forum awam dan pandangan mereka mengenai hala tuju kadar faedah dan dasar monetari AS akan mempengaruhi pasaran kewangan, termasuk pertukaran asing," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir ini, ringgit kebanyakannya mengukuh dan mengakhiri urus niaga minggu ini dengan menghampiri paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu.

Ringgit naik 0.4 peratus berbanding dolar AS sejak Jumaat lepas walaupun Fed dijangka mengekalkan kadar faedah yang stabil dalam masa terdekat.

Keadaan itu disebabkan oleh pengukuhan prestasi ekonomi AS dan inflasi melebihi sasaran 2.0 peratus sepertimana dinyatakan dalam minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) negaa maju itu pada Januari lepas.

Dalam pada itu, ringgit mengukuh untuk mengakhiri urus niaga minggu ini pada paras 4.4165/4200 daripada 4.4310/4385 dalam minggu sebelumnya.

Ringgit juga kebanyakannya menyusut berbanding mata wang utama lain, termasuk rendah berbanding pound Britain kepada 5.5851/5895 daripada 5.5769/5863.

Unit tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 2.9346/9371 daripada 2.9048/9099 sebelum ini dan mengukuh berbanding euro euro kepada 4.6236/6273 daripada 4.6437/6515.

Selain itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 270.7/271.0 daripada 272.6/273.2 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3021/3049 daripada 3.3055/3113.

Berbanding peso Filipina, ringgit naik kepada 7.62/7.63 daripada 7.66/7.68 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1354/1528 daripada 13.1761/2059.

-- BERNAMA