BERITA TERKINI   Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | 

Bank Pelaburan Jangka OPR Kekal Pada 3.00 Peratus Sepanjang 2025

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Bank-bank pelaburan menjangka Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia kekal stabil pada 3.00 peratus pada 2025.

Dalam nota penyelidikan hari ini, MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata pihaknya terus mengunjurkan OPR kekal pada paras semasa pada 3.00 peratus sepanjang 2025 berdasarkan tanpa tekanan inflasi yang didorong oleh permintaan dengan ketara dan penilaiannya bahawa kadar semasa menyokong trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

“Inflasi keseluruhan Malaysia kekal pada 1.7 peratus tahun ke tahun pada Jan 2025, dalam anggaran julat kami berikutan inflasi makanan yang sederhana kepada 2.5 peratus tahun ke tahun (Disember 2024: 2.7 peratus tahun ke tahun) berikutan inflasi makanan mencatatkan sedikit penurunan daripada paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, CIMB Investment Bank Bhd mengulangi jangkaannya bahawa OPR kekal pada 3.00 peratus untuk tempoh yang lebih lama, dengan kadar inflasi diunjurkan pada purata 2.6 peratus pada 2025.

“Inflasi teras naik kepada 1.8 peratus pada Januari (Disember 2024: 1.6 peratus) manakala inflasi keseluruhan kekal pada 1.7 peratus. 

“Kos buruh dan pengangkutan yang tinggi dijangka kekal sederhana, dengan inflasi kekal dalam sasaran rasmi antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus tahun ini, menyokong OPR pada 3.00 peratus sepanjang 2025,” katanya.

-- BERNAMA