BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Ringgit Melonjak Ke Paras Tertinggi Dalam Tempoh Hampir 2 Minggu

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi pada Khamis mendapat rangsangan daripada kemungkinan perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh hampir dua minggu kepada 4.4270/4320 daripada 4.4410/4450 pada Rabu.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid melihat perkembangan ini sebagai petanda AS tidak cenderung menaikkan kadar dan berpandangan Presiden Donald Trump mungkin mengambil pendekatan kurang agresif dalam hubungan perdagangan dengan China. 

“Ringgit melepasi paras sokongan segeranya hari ini. Ini sejajar dengan penurunan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 106.923 mata.

“Mata wang lain juga meningkat berbanding dolar AS, walaupun Rizab Persekutuan (Fed) membayangkan akan mengekalkan kadar faedah yang stabil,” katanya.

Menerusi minit mesyuarat yang dikeluarkan menunjukkan Fed tidak yakin inflasi akan bergerak secara mampan ke arah sasaran dua peratusnya walaupun pasaran buruh hampir mencapai guna tenaga penuh.

Sehubungan itu, pasaran kewangan kini mengunjurkan penurunan hanya satu mata berbanding dua mata sebelum ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6196/6248 daripada 4.6306/6348, naik berbanding pound Britain kepada 5.5833/5896 daripada 5.5965/6016 namun lemah berbanding yen Jepun kepada 2.9454/9490 daripada 2.9277/9305 sebelumnya.  

Ringgit juga meningkat berbanding kebanyakan mata wang negara ASEAN lain.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3060/3099 daripada 3.3068/3102, meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1459/1685 daripada 13.1769/1946, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 270.9/271.4 daripada 272.0/272.4 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.65 daripada 7.64/7.65.

-- BERNAMA