BERITA TERKINI   Majlis Media Malaysia, Institut Akhbar Malaysia diminta kenal pasti etika pelaporan, video berkaitan tragedi - Fahmi | MAG merancang menambah kumpulan pesawat utamanya kepada 160 pesawat, menyediakan perkhidmatan ke 106 destinasi menjelang 2035 - Kapten Nasaruddin | Fahmi akan dapatkan maklum balas Majlis Media Malaysia bagi pelaksanaan dasar bekerja dari rumah sektor media | Malaysia Airlines lancar laluan baharu ke Shenzhen dan Changsha, China, menyambung semula penerbangan ke Fukuoka, Jepun bermula Julai 2026 - Kapten Nasaruddin | Ketua Jabatan perlu pastikan petugas laksana BDR patuhi KPI, produktiviti lebih baik - KSN | 

Prestasi Niaga Hadapan Serantau, Isu Bekalan Pacu Pasaran Getah Ditutup Tinggi

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Khamis, didorong oleh peningkatan pasaran niaga hadapan komoditi itu selain kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli, kata peniaga.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata sentimen pasaran lebih positif selepas kerajaan China mengumumkan langkah rangsangan bagi memacu prestasi ekonomi.

China mengekalkan kadar utama pinjaman (LPR) dikekalkan pada 3.10 peratus manakala LPR lima tahun juga kekal pada 3.60 peratus.

“Bagaimanapun, keuntungan seterusnya dikekang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kebimbangan berkaitan ketegangan AS-China yang meruncing,” katanya.

Presiden Donald Trump pada Rabu berkata akan mengumumkan tarif ke atas kayu, kereta, semikonduktor dan farmaseutikal pada bulan depan atau lebih awal.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata setakat jam 3 petang, Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 meningkat 13.5 sen kepada 924.0 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 3.5 sen kepada 693.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA