Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Selepas Pengumuman Tarif Trump
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi lagi pada Rabu disebabkan ketidaktentuan yang semakin meningkat susulan pengumuman tarif terkini oleh Donald Trump.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat itu berkata beliau mungkin mengenakan tarif sekitar 25 peratus ke atas import kenderaan, semikonduktor dan farmaseutikal dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat seawal April.
Berita ini bagaimanapun semakin meredakan sentimen di pasaran kewangan global.
Dalam pada itu, Trump dilaporkan menyalahkan Ukraine di atas peperangan yang sedang berlangsung dengan Rusia dan berkata negara itu sepatutnya dapat mencapai persetujuan bagi mencegah konflik tersebut.
Kenyataan yang dibuat Trump itu juga sebagai tindak balasnya daripada kekecewaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang berasa diketepikan daripada rundingan damai di Arab Saudi.
Dalam negara, kontrak bulan semerta Februari 2025 naik kepada US$2,946.50 setiap auns troy daripada US$2,911.10 setiap auns troy pada Selasa manakala kontrak Mac 2025 meningkat kepada US$2,953.60 setiap auns troy daripada US$2,918.20 setiap auns troy.
Kontrak April, Mei dan Jun 2025 melonjak kepada US$2,963.80 setiap auns troy daripada US$2,925.40 setiap auns troy pada Selasa.
Jumlah dagangan pula menokok kepada 86 lot daripada 37 lot semalam manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 157 kontrak daripada 103 kontrak.
Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 17 Feb, 2025, harga emas fizikal berharga pada US$2,900.50 setiap auns troy.
-- BERNAMA