BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Bursa Malaysia Susut Pada Tengah Hari Susulan Aktiviti Jualan, Sentimen Serantau

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Rabu dengan lebih rendah berikutan aktiviti jualan membabitkan saham wajaran tinggi terpilih dan bermodal kecil selain sentimen bercampur-campur di peringkat pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.86 mata kepada 1,580.98 berbanding 1,584.84 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 1.62 mata kepada 1,583.22 dan bergerak dalam julat 1,579.30 dan 1,583.75 sepanjang sesi itu.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 589 berbanding 265 manakala 465 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,006 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.05 bilion unit bernilai RM1.25 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata indeks FBM KLCI dijangka kekal dalam fasa pengukuhan dengan sokongan pada paras 1,566-1,575 manakala rintangan pada 1,600-1,614.

“Unjuran ini kekal selagi penanda aras terus ditutup di bawah paras 1,590,” katanya.

Dalam pada itu, pelabur juga memantau rapat musim pelaporan pendapatan Februari, ketidaktentuan geopolitik dan ketegangan perdagangan, prospek dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan potensi dasar rangsangan China selepas Presiden Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan usahawan terkemuka negara itu.

Bank pelaburan itu berkata aliran keluar dana asing bagi bulan kelima berturut-turut pada Februari, juga hanya memberi tekanan ke atas sentimen pasaran.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun empat sen kepada RM10.50, CIMB rugi sembilan sen kepada RM8.31, Tenaga Nasional merosot lapan sen kepada RM13.86, IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM7.27 namun Public Bank naik satu sen kepada RM4.51.

Bagi saham aktif, Hartalega rugi 14 sen kepada RM2.47, Ingenieur Gudang turun separuh sen kepada 5.5 sen, MYEG susut tiga sen kepada RM1.00, Top Glove kehilangan 2.5 sen kepada RM97.5 dan Kinergy Advancement tidak berubah pada 32 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 40.60 mata kepada 11,963.62, Indeks FBMT 100 susut 36.37 mata kepada 11,679.97 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 37.74 mata kepada 11,658.59.

Indeks FBM 70 berkurangan 85.41 mata kepada 17,451.78 dan Indeks FBM ACE turun 45.32 mata kepada 5,029.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 51.89 mata kepada 19,322.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.49 mata kepada 162.61, Indeks Perladangan susut 3.44 mata kepada 7,426.64 dan Indeks Tenaga merosot 3.53 mata kepada 788.25.

-- BERNAMA