BERITA TERKINI   Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | 

Manfaatkan Sokongan Kerajaan, Teknologi Bagi Perkasa Sektor Logistik - Loke

SUBANG JAYA, 19 Feb (Bernama) -- Sektor logistik perlu memanfaatkan sokongan kerajaan seperti pengecualian cukai bagi kompleks logistik pintar untuk memperkasa sektor itu selain menggalakkan penerimagunaan teknologi Industri 4.0, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata inisiatif seperti pengecualian cukai itu bertujuan memacu operasi lebih pintar serta cekap di peringkat gudang serta logistik.

“Menerusi tindakan menyepadukan automasi, analisis data dan Internet Kebendaaan (IoT), kita tidak hanya mengoptimumkan prestasi rantaian bekalan tetapi turut meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi logistik pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ninja Cold - penyelesaian logistik dengan teknologi kawalan penyejukan terkini yang diperkenalkan oleh Ninja Van Malaysia di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Loke berkata seiring dengan keperluan perubahan industri, sektor logistik juga perlu bangkit bagi memenuhi cabaran baharu, khususnya dalam bidang kritikal seperti farmaseutikal, keterjaminan dan kemampanan makanan.

Beliau juga optimis terhadap masa depan logistik di Malaysia yang disifatkannya sebagai lubuk pelbagai peluang.

“Susulan peningkatan aspek pendigitalan dan penerimagunaan teknologi hijau, kita berada di ambang era baharu,” katanya.

Mengulas acara hari ini, Loke berkata perkhidmatan seperti Ninja Cold tidak hanya memenuhi keperluan semasa tetapi turut membuka laluan bagi kemajuan masa depan, sekali gus membolehkan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.

Beliau juga percaya penggunaan teknologi terkini dan hijau dapat membantu banyak perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan produk mereka dapat merentasi sempadan dengan tawaran perkhidmatan yang inovatif.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengambil langkah sewajarnya susulan proses penyahsenaraian syarikat itu.

“Itu proses biasa dan satu tindakan wajar,” katanya.

MAHB menerusi kenyataannya semalam berkata kesemua lima pengarah bebas bukan eksekutif syarikat itu telah mengemukakan peletakan jawatan, berkuat kuasa pada tarikh penyahsenaraian.

Cadangan penyahsenaraian dan penstrukturan semula itu akan menyaksikan MAHB muncul sebagai syarikat pemegang saham tunggal, dimiliki 100 peratus oleh Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) dengan kerajaan kekal sebagai pemegang saham khas.

-- BERNAMA