BERITA TERKINI   Garis panduan keselamatan di sekolah yang ditambah baik akan dikeluarkan hujung tahun ini - KP Pendidikan | Kes rogol di sekolah: Semua suspek dibuang sekolah serta merta - KP Pendidikan | MTL: Pusat Kawalan Operasi Bencana di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal, pastikan pemantauan, koordinasi berjalan lancar - TPM Ahmad Zahid | PM seru anak muda Malaysia terajui langkah tolak rasuah, dukung tadbir urus baik untuk pulihkan integriti | Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | 

Petronas Masih Di Peringkat Awal Eksplorasi Lembangan Langkasuka Di Perairan Kedah, Perlis

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) masih di peringkat awal aktiviti eksplorasi bagi Lembangan Langkasuka dengan perolehan data seismik 2D telah selesai pada 2024. 

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tumpuan utama masa ini adalah kepada analisis data seismik baharu itu yang dijangka selesai pada 2026. 

Lembangan Langkasuka terletak di kawasan perairan Kedah dan Perlis (Blok PM320 dan PM321).

"Langkah-langkah seterusnya di Lembangan Langkasuka ini akan bergantung kepada hasil analisis data seismik yang diperoleh itu," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai sejauh mana kajian kemungkinan dijalankan Petronas terhadap simpanan minyak dan gas di Lembangan Langkasuka serta garis masa pelaksanaan dan implikasinya.

Azalina juga menegaskan bahawa Petronas terus giat menjalankan aktiviti ekplorasi minyak dan gas di kawasan berpotensi di perairan Malaysia. 

"Usaha eksplorasi ini lazimnya mengambil sekitar tiga tahun hingga lima tahun bagi mengesahkan kewujudan takungan petroleum di sesuatu lokasi," katanya.

-- BERNAMA