BERITA TERKINI   Kira-kira 60 peratus kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri musnah terbakar, tiada mangsa terlibat - Bomba Johor | Malaysia akan perluas pasaran minyak sawit ke negara yang belum pernah jadi pembeli - Johari | Pemeriksaan kesihatan sebahagian komitmen PM untuk pastikan beliau kekal cergas terajui pentadbiran negara - Pengarah Hospital Serdang | PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan tahunan, kesihatan berada dalam keadaan sangat baik - Pengarah Hospital Serdang | Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | 

Cahya Mata Sarawak Catat Pendapatan Lebih Baik RM128.19 Juta Pada Tahun Kewangan 2024

KUALA  LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) naik 12 peratus kepada RM128.19 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 (tahun kewangan 2024) daripada RM114.44 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut kumpulan tersebut, prestasi lebih baik itu disumbangkan oleh bahagian simen yang mendapat manfaat daripada kos yang lebih rendah, diikuti bahagian pembangunan hartanah dan penyelenggaraan jalan raya yang mencatatkan peningkatan dalam margin keuntungan kasar dan bahagian fosfat yang merekodkan kos operasi lebih rendah.

“Prestasi keuntungan lebih baik ini juga didorong oleh kecekapan operasi yang dipertingkatkan di bahagian teras kami, mencerminkan komitmen kumpulan terhadap pengurusan kos yang berkesan dan peningkatan keuntungan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perolehan, bagaimanapun, sedikit berubah pada kira-kira RM1.20 bilion.

Pada suku keempat berakhir 31 Dis 2024, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM65.80 juta berbanding RM35.56 juta pada suku tahun lepas manakala perolehan meningkat kepada RM340.99 juta daripada RM332.81 juta sebelum ini.

Mengenai masa depan, kumpulan itu berkata pihaknya menjangka prestasi yang lebih baik dalam semua segmen perniagaannya berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi dan manfaat daripada projek infrastruktur selain persekitaran perniagaan yang stabil pada 2025. 

Lembaga Pengarah mencadangkan dividen pertama dan akhir dikecualikan cukai sebanyak 3.0 sen sesaham biasa (2023: 2.0 sen) untuk kelulusan pada mesyuarat agung tahunan yang akan datang.

-- BERNAMA