BERITA TERKINI   SST buah import: Lebih banyak penjelasan akan dibuat bagi elak kekeliruan rakyat - PM Anwar | Lantikan Ketua Polis Negara masih belum dimuktamad - PM Anwar | Kerajaan tidak naikkan harga minyak (RON95) walaupun ketegangan berlaku antara Iran-Israel ketika ini - PM Anwar | E-waste bernilai lebih setengah bilion ringgit dirampas, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 - Pengarah KDNKA Bukit Aman | Kementerian Pertahanan sedia bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran - Mohamed Khaled | 

Untung Bersih Greatech Technology Meningkat Kepada RM154.99 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Greatech Technology Bhd (Greatech) meraih keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM154.99 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2024 (TK2024) daripada RM154.36 juta dalam TK2023.

Perolehannya turut menokok sebanyak 14.21 peratus kepada RM752.37 juta daripada RM658.75 juta dalam tempoh sebelumnya, kata syarikat itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

“Pertumbuhan perolehan disumbangkan terutamanya oleh prestasi kukuh dalam sektor sains hayat, dipacu oleh pembangunan sistem teknologi perubatan yang maju,” katanya.

Selain itu, Greatech berkata pertumbuhan itu turut dicapai secara organik dan melalui langkah pengambilalihan strategik, termasuk pertambahan pelanggan sains hayat daripada Greatech Integration (Ireland) Ltd.

Bagi tempoh suku keempat TK2024 (S4), keuntungan bersih syarikat itu juga meningkat kepada RM51.62 juta daripada RM41.54 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu menyaksikan perolehannya menokok 33.11 peratus kepada RM205.84 juta daripada RM154.64 juta sebelum ini.

Mengulas tempoh 2025, syarikat itu kekal yakin terhadap prospek pertumbuhannya dan dalam kedudukan baik untuk sektor berpotensi tinggi seperti tenaga bersih, kenderaan elektrik dan sains hayat yang mempunyai potensi jangka panjang.

“Bagi kemajuan masa depan, Greatech akan akan terus mengutamakan pengurusan kos dan perbelanjaan projek berkesan selain meningkatkan kecekapan rantaian bekalan. Tidak kurang juga untuk memanfaatkan sinergi daripada penggabungan dan pengambilalihan," katanya.

Setakat 12 Feb, 2025, nilai perolehan kontrak belum selesai syarikat adalah kira-kira RM785 juta yang dijangka bertahan sehingga separuh pertama 2026.

-- BERNAMA