BERITA TERKINI   Ringgit ditutup rendah pada 3.9425/9535 berbanding dolar AS hari ini, daripada 3.9415/9480 semalam | Unit Maxis Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, memperoleh saham MOF Inc, baki pinjaman dalam DNB pada RM327.87 juta | Bursa Malaysia tegur Pengarah Eksekutif merangkap CEO TFP Solutions, Datin Eugena Braganza kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities | Polis ambil keterangan tiga individu bantu siasatan dakwaan jatuhkan kerajaan, lakukan sabotaj terhadap kestabilan negara - KPN | Konflik Asia Barat : Polis tingkatkan rondaan, penugasan di sempadan atau sasaran penting dalam negara - KPN | 

EcoWorld Malaysia Peroleh Baki Kepentingan 40 Peratus Dalam PPSB

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) telah memperoleh baki kepentingan 40 peratus dalam Paragon Pinnacle Sdn Bhd (PPSB) daripada subsidiari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSPEPF), Tanjung Wibawa Sdn Bhd (TWSB) dengan harga RM184.08 juta.

PPSB, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh EcoWorld Malaysia, sedang melaksanakan pembangunan kediaman dan komersil campuran yang dikenali sebagai Grandeur Eco serta Eco Business Park V, kedua-duanya terletak di Puncak Alam, Selangor. 

EcoWorld Malaysia melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pengambilalihan itu timbul daripada langkah opsyen jual oleh TWSB, selaras dengan terma perjanjian langganan dan saham bersyarat (SSA) yang ditandatangani antara EcoWorld Malaysia serta KWSP pada 2016. 

Pada 15 Nov 2016, EcoWorld Malaysia dan KWSP telah memeterai SSA untuk mengambil bahagian dalam PPSB bagi menjalankan projek-projek secara bersama. KWSP kemudiannya menamakan TWSB untuk menjadi pemegang saham PPSB dan mewakilinya dalam SSA berkenaan.

TWSB telah diberikan opsyen jual semasa langganannya ke PPSB pada 2016, dan ini boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun dari tarikh penggunaan pertama PPSB dari pendahuluan pemegang saham TWSB. 

EcoWorld Malaysia berasa yakin bahawa pengambilalihan tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dan sejajar dengan prospeknya untuk baki tanah yang tinggal dalam PPSB.

Sehingga 31 Oktober 2024, simpanan tanah yang belum dibangunkan di Eco Grandeur serta Eco Business Park V masing-masing berjumlah 310.4 hektar dan 111.3 hektar,  dengan baki nilai pembangunan kasar kira-kira RM9.5 bilion, kata pemaju berkenaan.

Secara kolektif, Eco Grandeur dan Eco Business Park v telah mencatatkan jualan kumulatif sebanyak RM4.4 bilion.

-- BERNAMA