BERITA TERKINI   Liga Super: KL City 0-4 JDT | Dividen operasi Felcra bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas acara Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) wanita | Rombakan Kabinet: Kerajaan mahu beri peluang kepada pemimpin muda untuk memimpin - PM Anwar | Tumpuan saya tahun depan adalah untuk meneruskan reformasi negara dan menyelesaikan masalah penduduk - PM Anwar | 

Untung Bersih Suku Ketiga Hartalega RM19.51 Juta, Hasil Meningkat

KUALA LUMPUR, Feb 18 (Bernama) -- Hartalega Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada RM19.51 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, berbanding RM22.38 juta bagi tempoh sama setahun lepas.

Namun, perolehan hasilnya melonjak 78 peratus kepada RM738.19 juta daripada RM415.64 juta sebelum ini, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan pertumbuhan hasil itu disumbangkan terutamanya oleh kenaikan ketara jumlah jualan sebanyak 73 peratus," katanya.

Hartalega juga menyifatkan industri sarung tangan getah memasuki tahun 2025 dengan dorongan keyakinan baharu terhadap pemulihan permintaan, secara beransur-ansur beralih daripada penyusutan pasca pandemik yang dijejaskan oleh lebihan bekalan susulan usaha pengumpulan inventori ketika pandemik.

“Aliran pemulihan permintaan itu dapat dilihat menerusi aktiviti menambah bekalan yang merentasi pasaran penggunaan.

“Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif lebih tinggi ke atas import sarung tangan perubatan getah dari China yang berkuat kuasa pada Januari 2025, mungkin menyuntik dorongan kepada pengeluar Malaysia untuk mendapatkan semula kedudukan di AS yang juga pasaran pengguna tunggal terbesar di dunia," katanya. 

Bagaimanapun, Hartalega berkata sektor itu perlu berdepan dengan cabaran semasa, termasuk lebihan bekalan global yang ketara susulan langkah pelarasan pasaran yang berterusan.

-- BERNAMA