BERITA TERKINI   Insiden kren runtuh di Kompleks Tanjung Bin: DOSH, PDRM dan Suruhanjaya Tenaga digesa lakukan siasatan rapi - TPM Fadillah | Sukan SEA 2025: Perenang negara, Khiew Hoe Yean pertahan emas 200m gaya bebas lelaki | Sukan SEA 2025: Jaguh lontar peluru negara Jonah Chang Rigan menang pingat emas, pecah rekod temasya dengan lontaran 18.78m | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat didorong peningkatan kebimbangan terhadap rancangan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata Trump telah mengarahkan satu senarai tarif timbal balik disediakan dan ia dijangka dilaksanakan pada April.

"Meskipun pasaran risiko meluas lega dengan penangguhan tarif timbal balik, pelabur emas tidak melihat ia sebagai tanda ketegangan akan mereda," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelabur berkemungkinan akan terus memilih logam selamat ini sebagai perlindungan terhadap ketidaktentuan dasar perdagangan global.

Kontrak bulan semerta Februari 2025 meningkat kepada US$2,932.20 setiap auns troy berbanding US$2,913.60 pada Khamis, manakala kontrak Mac 2025 meningkat kepada US$2,939.30 setiap auns troy berbanding US$2,920.70 sebelum ini.

Kontrak April 2025, Mei 2025 dan Jun 2025 juga menokok kepada US$2,946.70 setiap auns troy berbanding US$2,929 setiap auns troy ketika ditutup pada Khamis.

Jumlah dagangan menyusut kepada 48 lot berbanding 56 lot pada hari Khamis, manakala kepentingan terbuka merosot sedikit kepada 104 kontrak berbanding 109 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 13 Februari, harga emas fizikal berada pada US$2,915.30 bagi setiap auns troy.

-- BERNAMA