BERITA TERKINI   Bakar suar: Sultan Selangor zahir rasa amat dukacita insiden babitkan penyokong Selangor FC - Istana Alam Shah | Bakar suar: Sultan Selangor mahu polis cari dalang, harus dikenakan hukuman maksimum jika bersalah - Istana Alam Shah | Polis temukan enam rangka manusia, termasuk lima sekeluarga, di rumah terbiar yang terbakar di Kangkar Pulai bulan lepas - Ketua Polis Johor | Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | 

MRT, Sunway Bekerjasama Bangun Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar Dengan GDV RM2.6 Bilion

JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan melebihi RM2.6 bilion.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata projek pembangunan seluas kira-kira 1.711 hektar terdiri daripada gabungan komponen perumahan, komersial, pusat beli-belah, hospitaliti dan kesihatan yang terletak bersebelahan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura itu bakal mewujudkan satu ekosistem bandar yang berdaya sendiri.

“Impak projek pembangunan bersepadu ini bukan sahaja terbatas di Bukit Chagar, tetapi turut membawa kesan yang jauh lebih mendalam kepada kemajuan Johor secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik berkenaaan, di sini, hari ini.

Loke berkata gabungan beberapa projek utama yang kini berlangsung di Johor Bahru meletakkan Johor di landasan kukuh untuk muncul sebagai salah satu negeri paling maju di Malaysia, didorong oleh inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Projek Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar akan menjadi pemangkin yang melengkapkan serta mempercepatkan lagi proses pertumbuhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata projek tersebut juga bakal menjadi model bagi inisiatif pembangunan semula bandar berasaskan transit di seluruh negara.

“Kerjasama antara MRT Corp dan Sunway Bhd menjadi bukti bagaimana sektor awam dan swasta boleh berganding bahu dalam membangunkan infrastruktur bertaraf dunia tanpa membebankan kewangan rakyat.

“Melalui pelaksanaan model Rail Plus Property oleh MRT Corp, Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar bakal menjadi blueprint (pelan tindakan) bagi masa depan pembangunan bandar di Malaysia,” katanya.        Sementara itu, Loke berkata kerajaan telah membuat komitmen pelaburan melebihi RM200 juta bagi pembangunan trafik bersepadu untuk menangani peningkatan pergerakan trafik keluar dan masuk ke bandar raya Johor Bahru apabila perkhidmatan RTS Link bermula pada Disember 2026.

Katanya komitmen pelaburan berkenaan melibatkan jalan utama seperti Jalan Tebrau dan Jalan Tun Razak yang akan dinaik taraf dengan pembinaan jejambat bertingkat bagi membolehkan sambungan langsung ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Bukit Chagar.

-- BERNAMA