BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Rumah Terbuka Mekdi Sempena Tahun Baharu Cina Bawa Keriangan Dan Kemakmuran

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- McDonald's Malaysia buat julung kali menganjurkan Rumah Terbuka Mekdi sempena Tahun Baharu Cina di cawangannya di Bandar Sri Damansara dekat sini hari ini yang membawa keriangan dan kemakmuran kepada komuniti setempat.

Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia Chin Mei Lee berkata rumah terbuka itu dianjurkan bagi meraikan masyarakat yang sentiasa menyokong peneraju rangkaian restoran makanan segera terkemuka dunia itu.

“Selama ini, McDonald's telah membina hubungan erat dengan komuniti sekitar, jadi tahun ini kami melakukan lebih lagi dengan membuka acara ini kepada orang ramai untuk menikmati hospitaliti kami bersempena Kempen Kemakmuran.

“Kemakmuran bukan sekadar kekayaan material, tetapi juga mengenai hubungan dan persahabatan. Kami ingin memberi kembali kepada masyarakat yang telah menyokong kami selama ini dan percaya dalam mencipta detik-detik kegembiraan untuk semua," katanya kepada media di restoran McDonald's Bandar Sri Damansara.

Beliau berkata rumah terbuka yang penuh kemeriahan ini juga akan diadakan esok di McDonald's Kota Laksamana, Melaka serta pada 9 Feb di McDonald's Greenlane, Pulau Pinang bagi meraikan perayaan ini dengan pelbagai aktiviti menarik telah dirancang.

Selain itu, McDonald's Malaysia turut menawarkan set hidangan Prosperity Burger secara percuma kepada semua tetamu sebagai tanda penghargaan khas dari 6 petang hingga 7 malam di ketiga-tiga lokasi Rumah Terbuka Mekdi Tahun Baharu Cina.

Melalui Kempen Kemakmuran, McDonald's Malaysia berhasrat mencipta detik bermakna yang meraikan nilai kemesraan dan mengukuhkan hubungan dengan pelanggan serta komuniti.

Rumah terbuka yang diadakan di restorannya di Bandar Sri Damansara hari ini menampilkan pelbagai acara menarik, termasuk persembahan tarian singa, sesi 'Lau Sang' dengan kentang berlingkar McDonald's Prosperity Lou-Lou serta pertunjukan bunga api yang memukau.

Selama lebih sedekad, McDonald's Malaysia telah meraikan perayaan Tahun Baharu Cina dengan menyebarkan keceriaan melalui lawatan ke rumah kebajikan warga emas, namun tahun ini sambutan diperluaskan kepada pelanggan dan komuniti di lokasi terpilih.

McDonald's Malaysia yang telah beroperasi selama 42 tahun mempunyai lebih 370 restoran di seluruh negara dengan menerima lebih sembilan juta pelanggan setiap bulan.

-- BERNAMA