BERITA TERKINI   Kerajaan sedang mengkaji semula pelaksanaan cukai karbon Malaysia disebabkan situasi geopolitik semasa - NRES | PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | 

Agrobank Sasar 80,000 Peserta Bagi Kempen Mega Million 2.0

SUBANG JAYA, 7 Feb (Bernama) -- Agrobank menyasarkan penyertaan 80,000 peserta bagi Kempen Mega Million 2.0 yang berlangsung dari 1 Nov, 2024 hingga 31 Okt, 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh sembilan bulan yang akan datang.

Beliau berkata Kempen Mega Million 2.0 dianjurkan berikutan sambutan yang amat memberangsangkan ketika siri pertama berlangsung.

"Sambutan untuk kempen ini pada siri pertama amat menggalakkan. Kita menerima lebih 50,000 permohonan membuka akaun baharu di setiap cawangan Agrobank di seluruh Malaysia dengan simpanan melebihi RM300 juta.

"Oleh kerana permintaan dan dorongan pelanggan, Agrobank akan meneruskan kempen-kempen seumpama ini untuk meningkatkan kesedaran menabung dalam kalangan warga Malaysia," katanya selepas majlis penyerahan hadiah Kempen Mega Million 1.0 pusingan keempat di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Agrobank dalam satu kenyataan berkata antara produk komprehensif yang ditawarkan di bawah Kempen Mega Million ialah AgroPrimaS, AgroPerdana-i PLUS, AgroCash-i, Hartani-i dan Takaful Kasih Plus.

Katanya, produk-produk yang ditawarkan itu direka khusus untuk memenuhi keperluan kewangan pelbagai peringkat masyarakat, merangkumi perkhidmatan simpanan, perlindungan dan pembiayaan - sama ada untuk individu mahupun keluarga.

-- BERNAMA