BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | SPM 2025: TPM Ahmad Zahid bangga empat pelajar Orang Asli peroleh 9A, 114 lagi catat keputusan 5A ke atas | 

Kemunculan Teknologi AI Baharu Mampu Jadikan Malaysia Hab Pusat Data Neutral - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang baharu seperti DeepSeek mampu mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap satu produk sahaja, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kemunculan teknologi AI yang pelbagai ini juga membolehkan Malaysia menjadi pusat data yang neutral untuk syarikat AI dari Barat dan Timur seperti China.

“Walaupun AI yang lebih cekap ini mengurangkan keperluan pusat data besar, tetapi kos AI yang lebih rendah dijangka meningkatkan penggunaan teknologi AI secara meluas dan akan mendorong lebih banyak permintaan terhadap perkhidmatan pusat data,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung kesan kebangkitan teknologi AI baharu ke atas pelabur pusat data terutama daripada China.

Menurut Tengku Zafrul, peningkatan kecekapan AI tidak mengurangkan permintaan terhadap pusat data malah sebaliknya mungkin akan meningkatkan penggunaan AI yang seterusnya merangsang pelaburan pusat data.

“Rantaian bekalan semikonduktor akan dipelbagaikan, kalau kita lihat lokasi Johor contohnya, Pulau Pinang dan Kedah, lokasi-lokasi strategik untuk infrastruktur AI dan pusat data ini tidak akan terjejas,” katanya.

Justeru, katanya, langkah seterusnya bagi Malaysia adalah untuk memastikan daya saing pusat data di negara ini dengan memperkenalkan lebih banyak Insentif pelaburan hijau yang kompetitif.

“Kita nak galakkan lagi tenaga kerja AI dan digital dan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat pemprosesan AI dengan menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat AI, bukan sahaja dari Barat tetapi juga negara-negara lain

“Dan kita juga perlu memastikan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China terus dikekalkan dalam usaha memastikan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi yang neutral,” katanya. 

-- BERNAMA