BERITA TERKINI   Majlis Perundingan UMNO-PH setuju kekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan | Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | 

Subsidi, Logistik Elemen Penting Stabilkan Harga Kelapa Semasa Thaipusam - Presiden KLSICCI

Oleh Naveen Prabu Kuppusamy

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Memastikan harga stabil untuk barangan makanan asas seperti kelapa pada musim perayaan memerlukan sokongan berterusan melalui subsidi dan langkah-langkah logistik, kata Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) Nivaas Ragavan.

Beliau berkata dengan sambutan Thaipusam yang semakin hampir, permintaan terhadap barangan tertentu seperti kelapa melonjak, sekali gus memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan menyebabkan turun naik harga, terutamanya meningkat.

“Kekangan pengangkutan dan keperluan untuk penghantaran tepat pada masanya menambah lagi kerumitan, menyebabkan lonjakan sementara harga barangan ini menjelang sambutan tersebut,” katanya kepada Bernama. 

Nivass berkata penyasaran semula subsidi diesel telah memberi impak ketara terhadap kos pengangkutan.

“Vendor dan pembekal kini berdepan dengan perbelanjaan logistik yang lebih tinggi, secara tidak langsung membawa kepada kenaikan harga pengguna.

“Ini lebih mencabar semasa musim perayaan apabila keperluan pengangkutan lebih mendesak,” katanya. 

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi vendor kecil semasa musim perayaan seperti Thaipusam dalam mendapatkan dan menjual barangan keperluan, Nivass berkata pelbagai kesukaran dihadapi, termasuk kenaikan harga daripada pemborong, kekurangan bekalan serta kos logistik dan pengangkutan yang meningkat.

“Terdapat juga kekangan aliran tunai berikutan ramai vendor kecil beroperasi dengan bajet yang ketat, menjadikannya sukar untuk mendapatkan stok dalam kuantiti besar.

“Walaupun berdepan cabaran ini, vendor kecil kekal berdaya tahan, bekerja dalam tempoh yang panjang untuk memenuhi permintaan dan mengekalkan perniagaan mereka dalam tempoh genting ini,” katanya.

Nivass berkata menangani cabaran ini memerlukan pendekatan bersepadu melibatkan pihak berkepentingan, daripada pengeluar hingga penggubal dasar.

“Pelaburan dalam infrastruktur logistik yang lebih baik, subsidi untuk barangan keperluan pada musim perayaan dan program sokongan untuk vendor kecil dapat membantu menstabilkan bekalan dan harga.

“Kesedaran orang ramai mengenai cabaran ini juga dapat memupuk empati dan sokongan yang lebih besar terhadap perniagaan tempatan semasa perayaan seperti Thaipusam,” katanya. 

-- BERNAMA