BERITA TERKINI   12 MAUT, DUA PARAH DALAM KEMALANGAN BAS-TRAILER DI GHANA | Malaysia, Pakistan komited perkukuh hubungan dua hala, keamanan serta kemakmuran sejagat - PM Anwar | Malaysia, Pakistan bincang langkah tegas hentikan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza, Lubnan- PM Anwar | Malaysia hargai peranan pengantaraan Pakistan dalam rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat - PM Anwar | PM Anwar ucap Selamat Hari Raya Aidiladha kepada PM Pakistan Shehbaz Sharif, harap persaudaraan terus kukuh | 

BNM Lantik Madelena Mohamed Penolong Gabenor Sektor Strategi, Kelestarian

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Madelena Mohamed sebagai penolong gabenor yang akan bertanggungjawab ke atas sektor baharu iaitu strategi dan kelestarian berkuat kuasa pada 1 Feb 2025.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata sektor itu merangkumi pejabat gabenor, Jabatan Undang-Undang, Jabatan Komunikasi Strategik dan Unit Kelestarian.

“Madelena memulakan kerjaya beliau di BNM pada 1993 dengan berkhidmat di Jabatan Ekonomi.

“Sepanjang 32 tahun, beliau telah memegang peranan kepimpinan termasuk sebagai pengarah di beberapa jabatan iaitu Jabatan Kewangan Islam, Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan, Jabatan Dasar Kewangan Pruden, dan yang terbaharu di Unit Kelestarian,” menurut kenyataan itu.

Madelena memiliki ijazah dalam bidang ekonomi, dengan pengkhususan dalam perakaunan dan kewangan dari London School of Economics and Political Science.

Beliau juga merupakan pemegang sijil Chartered Financial Analyst (CFA).

-- BERNAMA