BERITA TERKINI   MRL laksana langkah keselamatan di tapak projek ECRL, elak kes kecurian kabel - Loke | Jemaah Menteri lulus cadangan menjadikan CAAM sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan, berkuat kuasa 1 Ogos ini - Loke | KDN akan siasat isu kesilapan infografik Ketua Polis Negara- Saifuddin Nasution | KPN Mohd Khalid tegaskan tidak pernah terlibat dalam mana-mana parti politik selama 38 tahun dalam PDRM - Saifuddin Nasution | Isteri kepada Premier Sarawak meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching, 3.34 pagi ini - Datuk Abdullah Saidol | 

Ringgit Ditutup Lebih Rendah Susulan Dolar AS Mengukuh

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup sedikit rendah hari ini dipengaruhi oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh di tengah-tengah retorik tarif lebih ketara daripada Presiden AS, Donald Trump yang mengukuhkan kekuatan dolar dalam pasaran yang lebih luas.

Pada 6 petang, ringgit sedikit susut berbanding dolar AS kepada 4.3760/3825 daripada 4.3750/3800 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kebimbangan mengenai tarif muncul semula walaupun konflik perdagangan di antara AS dan Colombia dapat dielakkan.

“Walaupun ringgit mencatatkan penurunan, prestasinya lebih baik pada awal sesi dagangan kerana ia kekal diperkukuh oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan keputusan berhemat bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah yang stabil.

"Walaupun nada Trump yang lebih berdamai terhadap Presiden Xi dari China memberi sedikit sokongan kepada mata wang Asia, ia tidak mencukupi untuk menampung kekuatan dolar yang mendominasi," katanya kepada Bernama.

Innes berkata keupayaan ringgit untuk stabil terutamanya di atas paras 4.40 akan banyak bergantung kepada perkembangan dalam hubungan perdagangan AS-China pada beberapa minggu akan datang.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 2.8313/8357 daripada 2.8115/8149 pada penutup Jumaat lepas dan susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4643/4724 daripada 5.4373/4435.

Sementara itu, ia menokok sedikit berbanding Euro kepada 4.5900/5968 daripada 4.5911/5964.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9840/13.0110 daripada 13.0015/0241 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.50 daripada 7.50/7.51.

Ringgit berkurang nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 270.6/271.0 daripada 270.5/270.9 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2518/2569 daripada 3.2482/2522.

 -- BERNAMA