BERITA TERKINI   Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | 

Kelonggaran Pelaksanaan Sistem e-Invois Permudah Peralihan Perniagaan Kecil - Pakar

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Tempoh kelonggaran selama enam bulan yang diberikan kerajaan sebelum pelaksanaan mandatori sistem e-Invois Malaysia membantu kalangan perniagaan kecil bersedia bagi pelaksanaan penuh, kata ahli majlis Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) Harvindar Singh.

Beliau berkata pendekatan ini juga telah memudahkan dan memberikan golongan peniaga kecil masa tambahan untuk proses peralihan ke sistem tersebut.

"Setiap transaksi mesti disertakan dengan e-invois. Anda boleh meneruskan perniagaan seperti biasa, tetapi menjelang akhir bulan, anda perlu menyerahkan invois yang disatukan dalam tempoh tujuh hari,” kata Harvindar.

Beliau berkongsi pandangan ini sebagai tetamu di program The Nation terbitan Bernama TV semasa perbincangan mengenai "Perubahan Utama dalam Percukaian untuk 2025" hari ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberikan kelonggaran kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois yang bermula 1 Ogos, 2024.

Sistem e-invois ialah platform digital yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperkemas dan meningkatkan proses invois untuk perniagaan.

Ia mewajibkan perniagaan menjana dan menyerahkan invois secara elektronik, memastikan pematuhan terhadap peraturan cukai dan meningkatkan kecekapan dalam pelaporan dan kutipan cukai.

Dalam pada itu Harvindar mengakui bahawa terdapat cabaran dan isu awal untuk ditangani tetapi menyatakan keyakinan tentang kemajuan yang dicapai.

"Terdapat banyak aplikasi sedang dibangunkan, dan saya memahami kebimbangan mereka terutamanya yang mungkin mendapati proses peralihan ini agak membimbangkan.

"Bagaimanapun, saya percaya dari semasa ke semasa mereka akan menyedari bahawa sistem ini boleh diurus," katanya.

-- BERNAMA