BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Maybank IB, HLIB Jangka OPR Kekal Pada 3.00 Peratus Pada 2025

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan unjurannya untuk Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada tahun ini untuk menyokong pertumbuhan domestik dalam mendepani cabaran luaran.

Keputusan ini berdasarkan ketidaktentuan mengenai langkah dasar Presiden AS Donald Trump dan risiko yang meningkat, walaupun terkawal, inflasi domestik.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata walaupun ia mengunjurkan kadar inflasi yang tinggi tahun ini pada 3.0 peratus berbanding 1.8 peratus pada 2024, peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh faktor dorongan kos, yang mencerminkan pembaharuan struktur dan fiskal yang amat diperlukan.

Ini termasuk pelarasan yang telah lama tertangguh seperti kos buruh yang tinggi berikutan kenaikan gaji minimum, levi pelbagai peringkat pekerja asing, caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), rasionalisasi subsidi petrol RON95, kenaikan cukai kerajaan tempatan dan potensi semakan terhadap kadar asas elektrik Tenaga Nasional Bhd pada Julai 2025.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut mengekalkan jangkaannya untuk Bank Negara Malaysia mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sepanjang 2025, dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat. 

HLIB menjangka inflasi kekal terurus, dengan risiko bergantung pada tahap kesan limpahan daripada langkah-langkah dasar domestik.

-- BERNAMA