BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Malaysia Perlu Guna FTA Untuk Promosi Minyak Sawit Di Global -- MPOB

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu menggunakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ada dalam kalangan negara ASEAN termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk mempromosikan minyak sawit di peringkat global, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata peluasan hubungan perdagangan ASEAN dengan negara lain seperti China, India, Korea Selatan dan Jepun akan mengukuhkan lagi selain membantu mengeksport serta mendorong komoditi itu memasuki negara-negara berkenaan.

“Dengan perkongsian ini, kita mempunyai kelebihan untuk memberitahu mereka tentang kebaikan minyak sawit, yang kita harap dapat mengukuhkan eksport minyak sawit ke negara tersebut dan juga mengeratkan hubungan,” katanya.

“Sudah tentu, kita mungkin akan membeli beberapa produk daripada mereka,” katanya sebagai tetamu semasa program The Nation terbitan Bernama TV mengenai “Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN Dalam Diplomasi Kelapa Sawit” di sini hari ini.

Ahmad Parveez berkata ia juga penting, dengan ASEAN sebagai pengeluar minyak sawit terbesar, untuk bekerjasama serta memenuhi semua keperluan global termasuk permintaan yang dicipta oleh pasaran minyak sawit global.

Dalam tumpuan Malaysia dan Indonesia ke arah pasaran yang hampir serupa, adalah kritikal bagi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini untuk memacu agenda kemampanan melalui Piawaian Minyak Sawit Lestari Malaysia MS2530:2022 (MSPO 2.0).

“Mulai 1 Jan 2025, kita akan mempunyai MSPO 2.0, yang lebih ketat dan memenuhi semua keperluan antarabangsa. 

“Jadi di sinilah kita sebagai sebuah negara boleh menggambarkan diri kita dan menunjukkan bahawa kita lebih baik daripada hanya mengeluarkan komoditi,” katanya.

-- BERNAMA