BERITA TERKINI   Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | Op Viking: Ahli perniagaan Victor Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram - Polis | 

PM Anwar Akan Bertemu Pengasas WEF, Pimpin Sesi Pleno ASEAN Pada Akhir WEF 2025

Daripada Anas Abu Hassan

DAVOS (Switzerland), 22 Jan (Bernama) -- Jadual padat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di hari terakhir Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 pada Rabu, akan dimulakan dengan menerima kunjungan hormat Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dan kini dalam lawatan kerja selama tiga hari bagi menghadiri sidang itu, seterusnya dijadualkan menyertai satu sesi dialog eksklusif khas beliau dengan barisan pimpinan forum yang bertemakan “A Conversation with Anwar Ibrahim.”

Perdana Menteri seterusnya dijadual menyertai jamuan tengah hari sesi Pertemuan Tidak Rasmi Pemimpin WEF (IGWEL).

Beliau kemudiannya akan menyampaikan ucaptama dalam sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together” yang menyaksikan Perdana Menteri membincangkan keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 serta peranan penting perkumpulan itu dalam membentuk landskap ekonomi global.

Selepas itu, Anwar dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Libya, Abdul Hamid Dbeibah, Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud dan Perdana Menteri Belanda Dick Schoof selain mesyuarat perniagaan dengan TotalEnergies.

Pertemuan dengan Schoof di bandar peranginan Pergunungan Alps ini juga menyaksikan Anwar mengakhiri lawatan kerja beliau ke empat negara yang dimulakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Januari dan seterusnya United Kingdom (15 Januari) dan Belgium (19 Januari).

-- BERNAMA