BERITA TERKINI   Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | Sindiket pengedaran dadah tumpas, rampasan bernilai RM5.33 juta - Ketua Polis Johor | 

Ringgit Ditutup Lebih Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Pelantikan Trump

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pelantikan Presiden AS Donald Trump hari ini, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.4910/4960 daripada 4.5040/5085 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata selepas pelantikan tersebut, para peniaga dan pelabur akan memantau dengan teliti perintah eksekutif (EO) yang lazimnya diumumkan oleh presiden yang baru dipilih.

"Sudah pasti, isu-isu seperti tarif import dan pengusiran besar-besaran pendatang haram akan dipantau dengan teliti.

"Secara ringkasnya, komuniti kewangan amat menantikan dasar ekonomi dan luar negara Trump 2.0 yang akan memberi impak besar terhadap ekonomi global dan turun naik pasaran kewangan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata prestasi ringgit turut disokong oleh perdagangan Malaysia yang mencatatkan rekod tertinggi RM2.88 trilion pada 2024, meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun, menandakan tahun keempat berturut-turut melebihi paras RM2 trilion.

Pada 2024, eksport naik 5.7 peratus kepada RM1.51 trilion manakala import berkembang 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 trilion.

Pada penutupan dagangan, ringgit lebih mengukuh berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit bertambah berbanding euro kepada 4.6307/6358 daripada 4.6382/6429 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding pound British kepada 5.4723/4784 daripada 5.4953/5008 dan menokok sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.8741/8774 daripada 2.8918/8949 sebelumnya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 274.3/274.8 daripada 274.9/275.3 pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2899/2938 daripada 3.2948/2983 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.68 daripada 7.68/7.69 sebelumnya.

Namun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0948/1155 daripada 13.0664/0856 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA