BERITA TERKINI   Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Harga Saham Turun Mungkin Susulan Mahkamah Tolak Saman Terhadap Apple Malaysia - Salutica

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Salutica Bhd menjelaskan bahawa penurunan mendadak harga sahamnya mungkin disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman oleh anak syarikat kumpulan itu, Salutica Allied Solutions Sdn Bhd terhadap Apple Malaysia Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut berkata mahkamah menolak saman itu pada pagi 17 Jan, 2025, dan membenarkan tuntutan balas terhadap anak syarikatnya, serta mengarahkan Salutica Allied untuk membayar kos sebanyak RM1.2 juta kepada Apple Malaysia.

Penjelasan Salutica ini adalah berikutan pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities.

"Tiada sebarang perkembangan korporat yang berkaitan dengan perniagaan dan urusan kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini," katanya.

Awal hari ini, jualan singkat harian (IDSS) saham Salutica digantung sepanjang hari selepas harga terakhirnya turun lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan asal.

Bursa Malaysia mengumumkan di laman sesawangnya bahawa IDSS bagi saham pengeluar komponen elektronik itu hanya akan diaktifkan semula pada 8.30 pagi pada hari dagangan berikutnya (Isnin, 20 Jan).

-- BERNAMA