BERITA TERKINI   Mohd Nasir Ahmad dilantik Pengerusi Kumpulan Prasarana yang baharu, berkuat kuasa 1 Ogos - Prasarana | Aplikasi NEXUS: MCMC dan Kerajaan Pulau Pinang jalin kerjasama untuk dapatkan maklumat capaian internet di lokasi - Fahmi | MCMC akan bekerjasama dengan LLM bagi mengenal pasti hampir 50KM jalan yang tiada langsung liputan telekomunikasi - Fahmi | TVET Malaysia mesti berkembang menjadi penyalur bakat berkemahiran tinggi, dengan peningkatan kemahiran yang diterajui NACSA ​​sebagai pemacu utama - Ahmad Zahid | Indeks Kesiapsiagaan Keselamatan Siber menunjukkan 93 peratus organisasi di Malaysia berdepan serangan berkaitan AI sepanjang tahun lepas - TPM Ahmad Zahid | 

Kementerian Kewangan Lulus Lesen Perbankan Digital Kepada Ytl Digital Bank

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MoF) meluluskan pengeluaran lesen perbankan digital kepada YTL Digital Bank Bhd, usaha sama antara YTL Digital Capital Sdn Bhd dan Sea Ltd.

Bank digital generasi baharu itu, yang beroperasi sebagai Ryt Bank telah menerima kelulusan untuk memulakan operasi pada 20 Dis, 2024.

YTL Digital Bank berkata bank tersebut akan dilancarkan kepada orang ramai secara berperingkat bagi memastikan kelancaran operasinya.

Ketua pegawai eksekutif Ryt Bank Melvin Ooi berkata bank itu yang disokong oleh kekuatan YTL Digital Capital dan Sea Ltd dijangka mengubah pandangan terhadap sistem perbankan di Malaysia.

“Dengan memanfaatkan kuasa kecerdasan buatan (AI) bagi menyediakan pengalaman tiada tandingan kepada pelanggan, kami akan menyampaikan perkhidmatan kewangan yang bermakna dan inklusif sambil membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ryt Al yang dikuasakan oleh AI direka mengikut keperluan pelanggan dan berperanan sebagai jurubank persendirian bagi memudahkan perkhidmatan perbankan mengikut kesesuaian mereka.

Selain itu, Ryt AI turut memastikan segala keperluan unik setiap pelanggan dapat dipenuhi dengan pantas, berkesan dan lancar.

Ia turut disokong oleh sistem bantuan sepanjang masa bagi menyediakan pengalaman perbankan terbaik kepada pelanggan.

 

-- BERNAMA