BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Sabah FC 0-3 Melaka FC | Pelancaran bantuan untuk pengguna buat keputusan, bantu individu rancang kewangan penjagaan kesihatan - JBMKKS | Hospital swasta layak mohon insentif cukai tubuhkan dana kebajikan bagi galakkan dan biayai perkhidmatan penjagaan kesihatan amal kepada pesakit kurang bernasib baik - JBMKKS | Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) sokong inisiatif utama perluas akses dan pilihan penjagaan kesihatan | 

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia Naik 3.6 Peratus Pada November 2024

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 3.6 peratus tahun ke tahun pada November 2024, didorong oleh pertumbuhan output berterusan dalam sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP itu turut mengekalkan momentum positifnya selama sebelas bulan berturut-turut.

“Peningkatan itu disokong oleh sektor pembuatan yang berkembang sebanyak 4.6 peratus (Oktober 2024: 3.3 peratus), disertai peningkatan 3.9 peratus dalam output elektrik (Oktober 2024: 1.9 peratus).

“Namun begitu, pengeluaran sektor perlombongan kekal dalam aliran penurunan walaupun dengan pertumbuhan negatif lebih kecil iaitu 0.8 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: -2.8 peratus,” katanya dalam kenyataan media IPP Malaysia bagi November 2024 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP tumbuh 0.5 peratus daripada 1.7 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2024.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata output berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang sebanyak 5.6 peratus pada November 2024 berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.

“Namun begitu, industri berorientasikan domestik terus tumbuh sederhana sebanyak 2.6 peratus selepas mencatat pertumbuhan 3.3 peratus pada Oktober 2024.

“Pengeluaran sektor perlombongan pada November 2024 turun sebanyak 0.8 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat sebanyak 3.8 peratus (Oktober 2024: -7.5 peratus) manakala, indeks gas asli meningkat 1.2 peratus (Oktober 2024: 0.4 peratus),” katanya.

-- BERNAMA