BERITA TERKINI   Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | 

Petronas Capai Keputusan Pelaburan Akhir Bagi Pembangunan Hidayah Indonesia

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PC North Madura II Ltd, mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi pembangunan medan Hidayah, Indonesia.

PC North Madura II ialah pengendali dengan 100 peratus kepentingan penyertaan dalam Perjanjian Kongsi Pengeluaran (PSC) itu.

Naib Presiden Aset Antarabangsa Huluan Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata FID bagi medan Hidayah di Kawasan Kontrak North Madura II, Jawa Timur, adalah satu pencapaian penting bagi syarikat minyak nasional itu di pasaran Indonesia.

“Pencapaian ini dibina berasaskan momentum penemuan minyak kami yang tinggi di Kawasan Kontrak North Madura II pada 2021, membuka laluan untuk kami melaksanakan peranan yang lebih strategik dalam menyokong keperluan tenaga yang semakin berkembang di rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pelan pembangunan itu meliputi penggerudian telaga pengeluaran minyak, yang disokong oleh platform kepala telaga bersepadu dan pemprosesan pusat automatik.

Perkara itu turut termasuk unit Penyimpanan dan Pemindahan Terapung, dilengkapi dengan ruang kediaman dan bilik kawalan pusat untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.

Pada 9 Januari, PC North Madura II mengadakan pertemuan pihak berkepentingan peringkat tertinggi untuk projek tersebut, yang dihadiri oleh pihak berkepentingan utama Indonesia, termasuk Ketua SKK Migas, Djoko Siswanto.

Petronas kini mengendalikan PSC Ketapang, North Madura II, dan North Ketapang di luar pesisir Jawa Timur, serta PSC Bobara di luar pesisir Papua Barat.

Petronas juga ialah rakan usaha sama dalam lima PSC, merangkumi wilayah daratan dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur, serta Indonesia Timur.

-- BERNAMA