BERITA TERKINI   Siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan - MOF | BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak - MOF | KPT setuju beri kemudahan PdP secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar, tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh IPTA bermula 16-24 Okt sempena Deepavali | Ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun - Gabenor BNM | Maqasid Syariah bermula dengan tadbir urus yang baik - PM Anwar | 

Usaha Jadikan Sarawak Hab Tenaga Baharu Akan Dibincang Dengan PM Jepun Esok - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) – Cadangan menjadikan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hab tenaga baharu di rantau ini dijangka menjadi antara fokus perbincangan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ishiba akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula hari ini dan turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Anwar.

Anwar berkata perancangan baharu itu, yang diikhtiarkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan satu pelan yang sangat kritikal dalam bidang peralihan tenaga. 

“Kita akan bicara beberapa isu pelaburan, perdagangan dan suatu rencana baharu yang sangat kritikal dari segi peralihan tenaga atas ikhtiar Premier Sarawak, Abang Johari.

“Kita harap dalam perbincangan itu akan merencana menjadikan Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai hab tenaga bagi rantau ini,” katanya ketika merasmikan Forum Ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Abang Johari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar pernah berkata Sarawak mempunyai potensi besar menjadi kuasa dalam hab tenaga baharu, sekali gus menarik keyakinan pelaburan asing dengan perbincangan dengan negara lain menyaksikan Sarawak menjadi tumpuan utama sebagai hab tenaga di Malaysia.

Abang Johari sebelum ini dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak optimis mereka mampu menjadi ‘power house’ dalam pengeluaran elektrik berikutan kemampuan mengeluar dan membekalkannya kepada negara jiran dan ia juga sudah terbukti apabila berjaya membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia.

Beliau juga dilapor berkata Kerajaan Sarawak percaya kepakaran dimiliki rakyatnya dalam bidang elektrik dan tenaga baharu akan membantu wilayah itu muncul sebagai hab utama sektor berkenaan di rantau ASEAN.

-- BERNAMA