BERITA TERKINI   Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | 

PM Anwar Galak Pelaburan Perusahaan Indonesia Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung daripada perusahaan Indonesia serta menggalakkan kolaborasi strategik seperti penggabungan antara syarikat milik entiti kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif ini akan mengukuhkan lagi kekuatan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Perkara ini saya lontarkan semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi Sinar Mas Franky Oesman Widjaja dan rombongan petang tadi.

“Saya turut maklumkan bahawa dalam konteks Kepengerusian ASEAN 2025, kejayaan pembangunan infrastruktur merentasi pelbagai negara menuntut keyakinan dan kerjasama utuh antara syarikat-syarikat ASEAN,” kata beliau menerusi hantaran di laman X hari ini.

Anwar berkata Sinar Mas merupakan satu daripada kumpulan perniagaan terkemuka di Indonesia yang beroperasi dalam tujuh sektor utama, iaitu pulpa dan kertas, pertanian dan makanan, perkhidmatan kewangan, hartanah, telekomunikasi, tenaga dan infrastruktur, serta perkhidmatan kesihatan.

-- BERNAMA