BERITA TERKINI   Perdana Menteri minta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap warga asing yang salah guna pas lawatan sosial - Fahmi | Kementerian Pendidikan Tinggi akan adakan pertemuan dengan MQA minggu depan, teliti isu laluan ke IPTA -- Fahmi  | Tindakan penguatkuasaan perlu gerakan menyeluruh libatkan seluruh jentera negara – PM Anwar | Setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilaksana secara berkesan di semua peringkat, termasuk ke tahap pihak berkuasa tempatan - PM Anwar | 

Maxis Pamer Penyelesaian Mobile Identity, Tampil Pengesahan Platform Digital Lancar, Selamat

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Maxis, syarikat telekomunikasi bersepadu (telco) ternama di Malaysia, baru-baru ini mempamerkan penyelesaian Mobile Identity Maxis dalam menyampaikan pengalaman pengesahan yang lancar, selamat dan dipermudahkan bagi pengguna mudah alih.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penyelesaian itu memanfaatkan suite antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) pengesahan telekomunikasi yang canggih, bermula dengan API pengesahan nombor.

“API Pengesahan Nombor ini mengesahkan peranti mudah alih dengan memperakui bahawa nombor telefon yang diberikan sepadan dengan nombor yang digunakan pada peranti tersebut berdasarkan data telekomunikasi masa nyata.

“Ini memastikan pengalaman pengguna yang dipermudahkan daripada onboarding aplikasi kepada penetapan semula kata laluan dan log masuk, dengan menggantikan kata laluan sekali guna (OTP) atau kod kebenaran transaksi (TAC) berasaskan SMS,” menurut kenyataan itu.

Mobile Identity Maxis telah dipamerkan di Smart Nation Expo 2024, dan susulan pameran itu Maxis Business berharap dapat melibatkan institusi kewangan, platform e-dagang dan pembangun aplikasi untuk memacu penerimagunaan lebih banyak penyelesaian API canggih sedemikian bagi meningkatkan pengalaman pengguna.

Maxis berkata melalui penyelesaian ini, nombor mudah alih boleh disahkan dengan selamat terhadap nombor yang sah dan aktif di latar belakang tanpa perlu meninggalkan platform, menjadikan perjalanan pengguna lebih lancar dan intuitif.

“Di samping itu penyelesaian tersebut meningkatkan keselamatan dengan menghapuskan pendedahan pelanggan kepada penipuan melalui kaedah SMS dalam pengesahan transaksi. Kelebihan ini bersesuaian untuk pelanggan penyedia perkhidmatan kewangan seperti bank, dan platform e-dagang, mengurangkan risiko penipuan,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine dalam kenyataan itu berkata Maxis percaya bahawa penggunaan lebih banyak penyelesaian berasaskan API seperti ini akan membuka peluang yang lebih besar untuk perniagaan dan industri menyampaikan interaksi digital yang lebih lancar dan selamat keseluruhannya.

“Kami teruja untuk meneroka pelbagai kemungkinan yang dibolehkan oleh API telekomunikasi dalam meningkatkan lagi pengalaman pelanggan. Dengan penyelesaian ini kami bukan sahaja memudahkan proses untuk pengguna, tetapi juga melindungi mereka daripada penipuan,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian Mobile Identity Maxis dibina untuk kesalingkendalian dan persekutuan teknologi dalam kalangan pengendali, dan Maxis bekerjasama dengan Singtel dalam sekutu teknologi serantau bagi API telekomunikasi, untuk membolehkan pengesahan berasaskan rangkaian buat pelanggan mudah alih.

“Kerjasama itu berakar umbi daripada inisiatif Bridge Alliance API Exchange (BAEx) yang telah menerima sokongan 13 syarikat telekomunikasi terkemuka di Asia, termasuk Maxis,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Maxis Mobile Identity, sila lawati https://www.business.maxis.com.my/en/digital-services/mobile-identity/.

-- BERNAMA