BERITA TERKINI   Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | Ketua jabatan dibenar pertimbang permohonan bekerja dari rumah bagi pegawai terkesan kesesakan trafik semasa Sidang Kemuncak ASEAN - JPA | Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka menerima jumlah pengunjung yang mencatat rekod sebanyak 3.51 juta, jauh melebihi sasaran 1.5 juta orang - Ketua Setiausaha MITI | Kepimpinan di semua peringkat mesti dengar, bertindak atas keperluan rakyat - PM Anwar | Belanjawan 2026: Rakyat nikmati banyak manfaat tanpa kenaikan cukai hasil tatakelola baik, pengurangan ketirisan - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi, Jejaki Kenaikan Wall Street

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada penutupan dagangan di Wall Street yang kukuh pada Jumaat lepas, selepas permintaan baharu untuk saham teknologi mendorong pasaran Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.50 mata kepada 1,630.96 daripada 1,629.46 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.28 mata kepada 1,629.74.

Di pasaran meluas, 278 kaunter untung mengatasi 159 kaunter rugi, 361 kaunter tidak berubah, 1,555 saham tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 318.51 juta unit bernilai RM181.36 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengadakan lawatan ke Malaysia hari ini untuk merasmikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), mendorong peniaga untuk memfokus semula kepada kaunter berkaitan Johor.

“Selain itu, susulan kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini, kami menjangkakan terdapat peluang dagangan berterusan dalam sektor Tenaga.

"Pelaburan pusat data juga dijangka meningkatkan pendapatan dalam sektor pembinaan, bahan binaan dan utiliti," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Minggu ini, peniaga akan memantau data ekonomi utama termasuk Indeks Harga Pengguna (IHP) Zon Euro, IHP China dan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Bukan Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM).

Dalam saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat dua sen kepada RM10.16 dan RM14.62, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.53 manakala CIMB tidak berubah pada RM8.11 bagaimanapun IHH Healthcare merosot tujuh sen kepada RM7.21.

Bagi kaunter aktif, Velocity Capital dan Careplus masing-masing melonjak satu sen kepada 8.0 sen dn 27 sen, Harvest Miracle menokok 1.5 sen kepada 20.5 sen dan MYEG menambah 0.5 sen kepada 99 sen naum Aimflex merosot setengah sen kepada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.73 mata kepada 12,562.37, Indeks FBM Emas Shariah naik 22.27 mata kepada 12,568.76, Indeks FBMT 100 naik 27.02 mata kepada 12,229.91,Indeks FBM 70 menambah 100.18 mata kepada 18,967.52 manakala Indeks FBM ACE melonjak 17.33 mata kepada 5,489.89.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 5.56 mata kepada 856.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.80 mata kepada 19,055.87, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 0.08 mata kepada 174.53 dan Indeks Perladangan melonjak 5.91 mata kepada 7,604.42.

-- BERNAMA