BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Pulau Pinang Catat RM22.6 Bilion Pelaburan Diluluskan Sehingga Suku Ketiga 2024

GEORGE TOWN, 31 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan pelaburan yang memberangsangkan dalam sektor perindustrian pada 2024 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM22.6 bilion sehingga suku ketiga tahun ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu sektor pembuatan menyumbang sebanyak RM12.1 bilion manakala sektor perkhidmatan RM10.4 bilion. 

"Kendatipun Pulau Pinang ‘kecil-kecil cili padi’, angka berkaitan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi negeri ini dengan 364 projek dicatatkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan dianggarkan 14,042 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan untuk rakyat negeri ini khasnya," katanya menerusi perutusan sempena Tahun Baharu 2025, hari ini.

Menurutnya, sehingga 31 Dis, 2024, Pulau Pinang merekodkan pencapaian 73 peratus dengan 359 projek berjaya disiapkan, sembilan sedang berlangsung manakala lima lagi sedia dilaksanakan di bawah Visi Penang2030, yang digagaskan bagi melahirkan sebuah 'Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara'. 

Chow berkata dengan aktiviti ekonomi yang rancak itu infrastruktur dan sistem pengangkutan awam yang efisien akan dimantapkan untuk memastikan kelancaran mobiliti, meningkatkan kualiti hidup serta penyuraian kesesakan lalu lintas.

“Bagi tujuan tersebut kerajaan negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengoptimumkan infrastruktur serta pengangkutan awam terutamanya projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang kini berada pada peringkat rundingan.

“Tanah untuk depoh projek LRT di Pulau Silikon juga dijangka siap dan diserahkan kepada pemaju serta pemilik aset untuk projek tersebut, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjelang akhir 2025,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang diumumkan Kerajaan Persekutuan juga telah dimulakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada pertengahan tahun ini.

"Ia merupakan langkah strategik untuk menjadikan PIA sebagai salah satu lapangan terbang yang mempunyai ketersambungan dengan volum penerbangan tertinggi dalam negara, malah tidak mustahil di Asia.

"Peningkatan kedatangan pelancong ke Pulau Pinang turut didorong oleh peningkatan jumlah penerbangan terus dari pelbagai lokasi di seluruh dunia terutamanya dengan pengenalan laluan baharu ke Shenzhen, China dan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Chennai, India," katanya.

Chow yang juga Pengerusi Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri berkata peningkatan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan, tetapi juga merangsang ekonomi negeri secara keseluruhan.

-- BERNAMA