BERITA TERKINI   MOT kekal sasaran operasi ECRL bermula Januari 2027 - Loke | JPJ perlu beralih kepada pendekatan baharu dalam pelaksanaan sekatan jalan raya - Loke | Tiada tolak ansur terhadap sebarang bentuk penyelewengan dana masjid, surau - Sultan Selangor | Sultan Selangor titah masjid dan surau hendaklah bebas sepenuhnya daripada sebarang pengaruh politik kepartian | ISF Group Bhd mula didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 50 sen, premium 17 sen daripada harga IPO 33 sen, dengan 50.14 juta saham bertukar tangan | 

Institusi Tempatan Terus Beri Sokongan Kepada Bursa Malaysia Untuk Minggu Ke-10 Berturut-turut

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Institusi tempatan terus memberikan sokongan kepada Bursa Malaysia untuk minggu ke-10 berturut-turut, dengan belian bersih ekuiti domestik berjumlah RM416.9 juta, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 27 Disember, MIDF berkata institusi tempatan adalah pembeli bersih pada setiap hari pada minggu lepas, menjadikan 27 hari dagangan berturut-turut sebagai tempoh belian bersih. 

Sebaliknya, peruncit tempatan menjadi penjual bersih ekuiti domestik, mencatatkan jualan bersih sebanyak RM185.0 juta selepas tempoh singkat belian bersih pada minggu sebelumnya.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot secara menyeluruh.

Pelabur asing menyaksikan penurunan paling ketara, dengan ADTV susut 60.2 peratus manakala peruncit dan institusi tempatan, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 30.6 peratus dan 38.9 peratus.  

Pelabur asing meneruskan trend jualan bersih mereka untuk minggu ke-10 berturut-turut, tempoh paling lama pada tahun ini, dengan jualan bersih sebanyak RM231.9 juta.

Mereka menjual ekuiti setiap hari pada minggu dagangan yang singkat disebabkan cuti Krismas pada Rabu.

Aliran keluar bersih asing terbesar dicatatkan pada Isnin sebanyak RM118.5 juta, diikuti Selasa (RM52.1 juta), Jumaat (RM36.3 juta) dan Khamis (RM25.0 juta).  

“Secara keseluruhannya, pelabur asing menjadi penjual bersih selama 27 hari dagangan berturut-turut,” menurut MIDF.  

Sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah hartanah (RM36.6 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM31.2 juta) serta perkhidmatan kewangan (RM29.6 juta).

Sebaliknya, sektor dengan aliran keluar asing bersih terbesar ialah utiliti (RM119.5 juta), pembinaan (RM88.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM68.1 juta).  

Pelabur asing juga terus menjual ekuiti di India secara bersih untuk minggu ketiga berturut-turut berjumlah - US$600.4 juta.

India, pengeluar gula kedua terbesar di dunia, dijangka menyaksikan pengeluaran gulanya merosot di bawah paras penggunaan buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun disebabkan cuaca kemarau pada 2023 dan hujan yang berlebihan pada tahun ini.

Sementara itu, dilaporkan kerajaan India sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan cukai individu dalam belanjawan akan datang pada Februari 2025 bagi meningkatkan penggunaan dalam ekonomi yang lembap dan memberi kelegaan kepada golongan kelas pertengahan.

-- BERNAMA