BERITA TERKINI   Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | Op Viking: Ahli perniagaan Victor Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram - Polis | 

Unjuran Eksport Lebih Baik Daripada Jangkaan Tingkatkan Niaga Hadapan MSM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meningkat semula untuk ditutup lebih tinggi pada Jumaat susulan unjuran eksport yang lebih baik daripada jangkaan. 

Peniaga minyak sawit David Ng berkata unjuran eksport yang lebih baik membantu meningkatkan sentimen pasaran.

“Sebelum ini, pasaran menjangkakan penurunan dua digit dalam eksport MSM, tetapi (unjuran menunjukkan) hanya penurunan satu digit,” katanya kepada Bernama.

Eksport minyak sawit Malaysia dijangka susut antara 1.1 dan 4.0 peratus dari 1 hingga 25 Dis, 2024.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2025 meningkat RM75 kepada RM4,975 setiap tan manakala Februari 2025 naik RM83 kepada RM4,781 setiap tan dan Mac 2025 bertambah RM81 kepada RM4,624 setiap tan.

Kontrak April 2025 berkembang RM61 kepada RM4,459 setiap tan manakala Mei 2025 naik RM37 kepada RM4,331 setiap tan dan Jun 2025 melonjak RM27 kepada RM4,253 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 56,591 lot daripada 42,211 lot semalam manakala kepentingan terbuka naik kepada 242,999 kontrak daripada 239,482 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan melonjak RM50 kepada RM5,050 setiap tan.

-- BERNAMA