BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Ringgit mencatat pemulihan kukuh apabila ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kenaikan harga komoditi dan bacaan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah membantu ringgit mengakhiri penurunan berterusan terhadap dolar AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4870/4925 berbanding dolar AS daripada 4.5055/5100 semasa ditutup Jumaat lepas. 

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mendapat sokongan daripada kenaikan harga gas asli dan minyak, yang pada akhirnya membolehkan ringgit ditutup lebih tinggi hari ini.

Menurutnya ringgit lazimnya lebih kukuh apabila harga minyak mentah meningkat.

Mata wang tempatan menyusut selama dua minggu berbanding dolar AS sebelum mencatat prestasi lebih tinggi hari ini.

 "Ringgit memulakan dagangan hari ini dengan positif, didorong oleh data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS yang lebih rendah berbanding jangkaan pada Jumaat, menyebabkan hasil bon AS 10 tahun merosot.

“Bagaimanapun, pada akhir dagangan hari ini, dolar AS kembali mengukuh sedikit, dipengaruhi oleh ancaman tarif AS yang berterusan," kata Innes kepada Bernama.

Inflasi di AS, yang diukur menerusi Indeks Harga PCE, meningkat 2.4 peratus pada asas tahunan pada November, lebih rendah daripada unjuran peningkatan 2.5 peratus.

Innes berkata ringgit yang ditutup lebih tinggi turut menunjukkan perbezaan daripada dagangan dolar AS dan yuan luar pesisir yang ditutup rendah.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.6384/6453 daripada 5.6328/6384 tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.6692/6749 daripada 4.6776/6823 pada Jumaat dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.8636/8673 daripada 2.8747/8779.

Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3095/3138 daripada 3.3146/3181 tetapi rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1137/1360 daripada 13.0670/0861.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 276.9/277.5 daripada 277.7/278.1 dan menyusut berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.68 daripada 7.66/7.67.

-- BERNAMA