BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Trio Mohd Akmal Nazimi, Muhammad Fadhil, Muhammad Ridwan rangkul emas berbasikal trek pecut berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Gandingan terjun Nur Eilisha Rania-Nurul Farisya Alia sumbang emas platform seirama wanita | Sukan SEA 2025: Atlet menembak Haritz Iklil hadiahkan pingat emas ke-50 menerusi acara 50m Rifle 3 Posisi individu lelaki | Sukan SEA 2025: Malaysia raih emas boling berpasukan wanita | PNB isytihar agihan pendapatan ASB 5.75 sen bagi tahun kewangan 2025 dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion | 

Bursa Malaysia Akhiri Dagangan Pagi Tidak Berubah

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan tidak berubah, seiring prestasi pasaran serantau dalam persekitaran prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.01 peratus atau 0.27 mata kepada 1,599.82 daripada 1,600.09 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.32 mata lebih tinggi pada 1,600.41 dan bergerak antara 1,595.70 dan 1,606.28 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Sentimen pasaran secara meluas dilihat sedikit negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 475 daripada 416 manakala 494 kaunter tidak berubah, 1,088 tidak diniagakan dan 58 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.99 bilion unit bernilai RM1.37 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun dipengaruhi sentimen di Wall Street, ia menjangkakan minat belian pasaran tempatan tertumpu dalam sektor berorientasikan eksport seperti saham teknologi dan sarung tangan, disokong oleh kecenderungan menaikkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).  

“Selain itu, kami kekal positif terhadap saham berkaitan rantaian bekalan pusat data dan sektor pembinaan, utiliti serta bahan binaan, disokong oleh pelaburan pusat data awal tahun ini,” kata firma broker itu dalam satu nota.

Secara teknikal, ia melihat paras rintangan indeks penanda aras itu pada 1,615-1,620 dan sokongan pada 1,580-1,585.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Hong Leong Bank masing-masing susut 4.0 sen kepada RM10.02 dan RM20.02, Public Bank tidak berubah pada RM4.49, CIMB turun 3.0 sen kepada RM8.01, dan Tenaga menguncup 2.0 sen kepada RM13.92.

Bagi saham paling aktif, YTL Corporation menambah 10 sen kepada RM2.65, Zen Tech tidak berubah pada 1.0 sen, YTL Power International meningkat 14 sen kepada RM4.22, Sarawak Cable naik 2.5 sen kepada 14 sen, JCY menokok 3.0 sen kepada 54 sen dan TWL tidak berubah pada 3.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah menokok 1.45 mata kepada 12,265.21, Indeks FBM Emas meningkat 7.82 mata kepada 12,284.81, dan Indeks FBMT 100 mengukuh sebanyak 7.23 mata kepada 11,972.36.

Indeks FBM 70 melonjak 44.93 mata kepada 18,479.02 dan Indeks ACE FBM meningkat 11.54 mata kepada 5,267.94.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.09 mata kepada 170.81, Indeks Perladangan turun 64.29 mata kepada 7,521.82, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 33.22 mata kepada 18,807.31, manakala Indeks Tenaga naik 0.31 mata kepada 811.37.

-- BERNAMA