BERITA TERKINI   Bakar suar: Sultan Selangor zahir rasa amat dukacita insiden babitkan penyokong Selangor FC - Istana Alam Shah | Bakar suar: Sultan Selangor mahu polis cari dalang, harus dikenakan hukuman maksimum jika bersalah - Istana Alam Shah | Polis temukan enam rangka manusia, termasuk lima sekeluarga, di rumah terbiar yang terbakar di Kangkar Pulai bulan lepas - Ketua Polis Johor | Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | 

Majlis EU Secara Rasmi Terima Penangguhan Setahun Peraturan Penyahhutanan

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Majlis Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi menerima penangguhan pelaksanaan peraturan penyahhutanan EU selama setahun.

Ia berkata penangguhan ini akan membolehkan negara ketiga, negara anggota, pengendali dan peniaga bersedia sepenuhnya dari segi kewajipan usaha wajar mereka, bagi memastikan komoditi dan produk tertentu yang dijual di EU atau dieksport dari EU adalah bebas daripada proses penyahhutanan.

"Ini termasuk produk yang bersumberkan ternakan, kayu, koko, soya, minyak sawit, kopi, getah dan beberapa produk terbitan mereka,” kata majlis itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan dalam laman webnya.

Majlis itu berkata penerimaan penangguhan ini merupakan langkah terakhir dalam prosedur perundangan biasa.

Peraturan itu seterusnya akan ditandatangani dan diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU agar ia dapat dikuatkuasakan sebelum akhir tahun, katanya.

Menurut majlis itu, peraturan penyahhutanan telah dikuatkuasakan sejak 29 Jun tahun lepas dan akan diguna pakai bermula 30 Dis, 2024.

Bagaimanapun, susulan penangguhan tersebut ia akan mula digunakan pada 30 Dis 2025.

"Langkah ini akan memberi lebih kejelasan dari segi undang-undang dan masa yang secukupnya untuk pelaksanaan peraturan yang lancar dan berkesan," katanya.

Pada 16 Okt, majlis berkenaan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR) selama 12 bulan yang memberikan kelegaan kepada sektor minyak sawit Malaysia.

EUDR mewajibkan komoditi yang dijual di EU harus bebas daripada aktiviti penyahhutanan yang menimbulkan cabaran pematuhan ketara bagi pengeluar minyak sawit.

Ini berikutan kos pematuhan dianggarkan menelan sebanyak US$650 juta setiap tahun, dengan kos sebanyak US$260 juta memberi kesan langsung kepada pekebun kecil.

-- BERNAMA