BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Duta Malaysia Saran Syarikat Pacu Masa Depan Mampan Industri Minyak Sawit

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Dis (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menggesa syarikat berkaitan kerajaan Malaysia dan perniagaan utama Indonesia memanfaatkan kepakaran kolektif mereka untuk mewujudkan masa depan lebih cerah dalam industri minyak sawit sebagai pemacu ekonomi dan model untuk pembangunan mampan.

Beliau berkata industri minyak sawit telah berperanan penting dalam pembangunan negara Malaysia dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kemiskinan, pembangunan luar bandar, sekuriti makanan dan tenaga alternatif.

“Bagaimanapun, industri ini telah berdepan banyak cabaran -- kempen negatif dan maklumat palsu seperti penyahhutanan dan kepupusan orang utan serta harimau,” katanya dalam Palm Oil Insight Forum 2024: Bridging Sustainability, Innovation, and Market Strategies.

Program anjuran kedutaan dengan kerjasama Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) itu diadakan di kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Selatan hari ini.

Syed Md Hasrin turut menekankan kepentingan menguruskan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) sebagai cabaran besar, menggesa pemain industri menyelaraskan strategi yang memastikan pematuhan di samping melindungi pekerjaan jutaan individu yang bergantung kepada sektor ini.

Mengenai potensi minyak sawit yang semakin meningkat dalam menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), katanya industri itu mempunyai peluang tersendiri sebagai peneraju inovasi biobahan api, sekali gus menyumbang dalam peralihan global kepada sumber tenaga lebih lestari.

Syed Md Hasrin turut menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia, dengan kedua-dua negara berkongsi tanggungjawab melalui CPOPC untuk mempromosikan kelestarian dan daya tahan industri ini.

“Kerjasama yang diperkukuh boleh menjadikan pandangan bersama kita lebih meluas di pentas antarabangsa,” katanya.

Berikutan kemampanan pada masa ini bukan lagi merupakan pilihan, sebaliknya sebagai satu keperluan yang kritikal demi masa depan industri, beliau menyeru supaya piawaian kelestarian yang teliti terus dipromosikan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang sektor ini.

-- BERNAMA