BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

Kerajaan Teliti Cadangan Kebolehgunaan Prdouk Insurans, Takaful Secara Mudah Alih

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti cadangan kebolehgunaan produk insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) secara mudah alih demi memastikan akses penjagaan yang berterusan dan berkesan, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata antara kriteria yang diperlukan bagi cadangan itu termasuk mekanisme perkongsian data seperti perkongsian rekod polisi seperti maklumat yang tepat dan terkini mengenai sejarah tuntutan pemegang polisi, tempoh menunggu yang dilalui dan manfaat yang dikumpulkan.

“Mekanisme perkongsian ini disokong oleh infrastruktur teknologi yang mencukupi seperti pangkalan data bagi membolehkan syarikat insurans dan pengendali takaful mengesahkan dan memindahkan maklumat pemegang polisi dengan selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai keperluan pengguna kad perubatan dan perlindungan takaful menukar pengendali takaful mereka tanpa perlu kiraan semula tempoh menunggu.

Lim berkata produk MHIT adalah berbeza dengan nombor telefon bimbit, apabila produk MHIT melibatkan pengumpulan risiko jangka panjang dan keperluan tingkah laku pengguna yang terhad.

Tempoh menunggu dalam penukaran pengendali takaful atau insurans dibuat bertujuan mencegah penipuan atau penyalahgunaan iaitu bagi mengelak pemegang polisi yang baharu, di kenal pasti dengan keadaan perubatan tertentu mengambil kesempatan terhadap perlindungan insurans tanpa menyumbang kepada kumpulan risiko terlebih dahulu.

Ini akan memudaratkan kos tuntutan dan premium atau sumbangan, seterusnya menjejaskan tahap mampu milik bagi pemegang polisi yang lain dan kesinambungan produk MHIT, katanya.

-- BERNAMA