BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

MIDF Amanah Jangka Ringgit Diniagakan Tinggi Pada RM4.30 Pada Akhir Tahun

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF IB) menjangka ringgit kembali mengukuh dan mengakhiri tahun ini pada RM4.30 berbanding RM4.59 pada akhir 2023.

Menurut MIDF IB dalam satu laporan, unjuran ini didorong terutamanya oleh jangkaan pelonggaran dasar seterusnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan pengurangan perbezaan kadar faedah yang akan memberi kelebihan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

“Asas ekonomi Malaysia yang kukuh berdasarkan lebihan berterusan dalam imbangan dagangan dan akaun semasa turut menyokong jangkaan pengukuhan ini.

“Sehubungan itu, kami menjangka Indeks Ringgit Wajaran Dagangan MIDF (TWRI MIDF) akan meningkat kepada sekitar 93.0 pada akhir tahun, mencerminkan potensi kenaikan berbanding mata wang lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya beberapa risiko yang boleh membawa kepada pengukuhan dolar AS yang berpanjangan termasuklah pendirian Fed yang lebih agresif, kemungkinan disebabkan inflasi yang kembali meningkat dan daya tahan ekonomi AS yang berterusan, yang akan mengekang peningkatan ringgit.

“Selain itu, permintaan terhadap dolar yang meningkat mungkin disebabkan aliran pelaburan kepada aset selamat yang didorong oleh kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi global, yang mungkin terjejas oleh ketegangan geopolitik dan perdagangan yang meningkat serta potensi pertumbuhan negara-negara utama yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.

-- BERNAMA