Prestasi Suku Ketiga Jejas Saham Tnb, Susut Empat Peratus Pada Sesi Awal

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) susut empat peratus dalam dagangan awal pada Jumaat susulan prestasi pendapatan suku ketiga tahun kewangan 2024 syarikat itu yang lebih rendah daripada dijangkakan.

Keadaan pasaran saham global yang lembap turut memberi impak dan menjejaskan lagi permintaan terhadap kaunter syarikat gergasi utiliti itu.

Pada 9.45 pagi ini, kaunter TNB susut 54 sen kepada RM13.44 dengan 6.2 juta saham didagangkan.

Public Investment Bank berkata tanpa mengambil kira keuntungan pertukaran mata wang asing sebanyak RM1.1 bilion, TNB mencatat keuntungan bersih sebanyak RM445.5 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 yang juga penurunan ketara sebanyak 48.4 peratus tahun ke tahun dan 65.6 peratus bagi suku ke suku.

Penurunan itu disumbangkan terutamanya oleh perolehan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang lebih rendah sebanyak RM625.8 juta manakala perbelanjaan operasi susut RM146.4 juta.

"Secara keseluruhan, prestasi bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 adalah lebih rendah daripada jangkaan kami serta konsensus bagi anggaran tahun penuh iaitu pada 65.9 peratus dan 65.3 peratus disebabkan terutamanya oleh kos operasi yang lebih tinggi daripada dijangkakan," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

 Bagaimanapun, Public Investment kekal optimis dan mengekalkan unjurannya dengan jangkaan sumbangan positif daripada segmen Genco, disokong oleh harga arang batu dan pergerakan pertukaran asing yang menggalakkan selain menjangkakan (stesen jana kuasa arang batu) Manjung 4 akan kembali pada suku keempat.

"Permintaan tenaga elektrik terus meningkat pada 6.1 peratus tahun ke tahun. Unit sebenar elektrik yang dijual dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 juga mengatasi unjuran jualan asas dalam Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) sebanyak 11 peratus. .

“TNB juga telah mengembalikan kira-kira RM1.7 bilion hasil kepada kerajaan susulan mekanisme hasil dan had harga.

"Kami menjangkakan pemuktamadan RP4 menjelang Disember 2024 akan turut menguntungkan TNB. Berikutan itu, kami mengekalkan saranan “outperform” dengan harga sasaran RM16,” kata bank pelaburan itu.

-- BERNAMA