BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Untung Bersih TNB Melonjak Kepada RM1.58 Bilion Bagi Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat hampir dua kali kepada RM1.58 bilion dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2024 (TK2024), daripada RM856.20 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disumbangkan oleh keuntungan dalam pertukaran asing, jualan tenaga elektrik yang lebih tinggi selain prestasi operasi yang lebih baik.

Perolehan meningkat kepada RM14.35 bilion pada suku ketiga 2024 daripada RM13.47 bilion sebelum ini, kata syarikat gergasi utiliti negara itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Jualan tenaga elektrik meningkat 6.2 peratus atau RM2.37 bilion yang mendorong pertumbuhan pendapatan kumpukan sebanyak 7.5 peratus atau RM2.9 bilion.

“Pertumbuhan permintaan juga meningkat sebanyak 7.6 peratus, terutama daripada sektor komersial dan domestik,” katanya.

TNB berkata mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) juga dalam kedudukan kurang pulih lebih rendah iaitu RM7.37 bilion berbanding RM8.49 bilion pada tempoh sama tahun lepas berikutan harga bahan api yang lebih rendah.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, kumpulan itu mencatat prestasi yang stabil, disokong oleh peningkatan permintaan, prestasi operasi lebih baik dan pengurusan modal yang cekap.

Keuntungan bersih TNB melonjak kepada RM3.74 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024 daripada RM2.19 bilion bagi tempoh sama 2023 manakala perolehan menokok kepada RM42.36 bilion daripada RM39.41 bilion sebelumnya.

Menyentuh prospek, TNB berkata seiring jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, kumpulan mengunjurkan prestasi yang stabil untuk 2024 dan akan terus melaksanakan strategi perniagaan berhemat untuk mengekalkan daya tahan.

“Kumpulan komited untuk menjadi pemain utama dalam memajukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) sambil berusaha mendapatkan pertumbuhan dan nilai mampan untuk pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA