BERITA TERKINI   STAM 2025: 2,816 calon berjaya lepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM - KPM | Johor tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM8, RM10 dan RM20 - Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor | Nilai transaksi perbelanjaan SARA di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion - Amir Hamzah | Sebanyak RM150 juta baki peruntukan bantuan Program SARA (MyKasih) tidak dibelanjakan penerima sehingga 31 Dis 2025 - Amir Hamzah | Seorang lelaki maut dan tujuh lagi cedera dalam kemalangan di KM 433 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Rawang awal pagi tadi - Bomba Selangor | 

Prospek Perniagaan Suku Keempat 2024 Kekal Positif - MIER

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan prospek perniagaan bagi tempoh suku keempat 2024 kekal positif dengan Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) mencecah hampir 105 mata.

MIER berkata antara pemacu utama termasuk jualan dan pengeluaran yang stabil, peningkatan tahap penggajian atau pekerjaan, kenaikan kos upah dan peningkatan kecekapan dari aspek penggunaan kapasiti.

“Sebahagian besar syarikat-syarikat optimis terhadap prospek perniagaan bagi tempoh tiga bulan akan datang susulan imej Malaysia yang lebih disenangi.

“Indeks Keadaan Perniagaan Malaysia MIER bagi suku keempat 2024 dijangka memaparkan pertumbuhan jualan, pekerjaan dan kos upah,” katanya susulan Laporan Tinjauan Keadaan Perniagaan MIER bagi suku ketiga 2024.

Selain itu, indeks berkenaan juga memaparkan aliran positif dalam pekerjaan dan jualan, sekali gus menandakan daya tahan dan potensi pemulihan yang lebih kukuh.

Dalam laporan itu, MIER juga menyifatkan prestasi jualan keseluruhan bagi suku ketiga 2024 adalah positif.

“Pada asas tahun ke tahun, ini menunjukkan indeks meningkat sebanyak 8.9 mata kepada 52.8 pada suku ketiga 2024 berbanding 43.9 mata bagi tempoh sama pada 2023,” katanya.

Selain itu, MIER berkata indeks pekerjaan menunjukkan trend positif dengan peningkatan setiap tahun sebanyak 14.3 mata kepada 56.5 dalam suku ketiga 2024 (42.2 bagi suku ketiga 2023).

Angka bagi suku ke suku juga meningkat daripada 47.6 dalam suku kedua 2024.

Pelaburan secara menyeluruh mencatat aliran meningkat dengan keuntungan tahun ke tahun sebanyak 18 mata kepada 68.0 mata dalam suku ketiga 2024 berbanding 50.0 mata pada suku ketiga 2023.

“Lebih 70 peratus daripada firma yang beroperasi dalam pasaran domestik dan eksport melaporkan paras pelaburan yang stabil bagi syarikat masing-masing.

“Sebanyak 13 peratus daripada firma yang beroperasi dalam pasaran domestik  juga mencatat paras pelaburan yang stabil,” katanya.

-- BERNAMA