BERITA TERKINI   Suhaimi Sulaiman sahkan lepaskan jawatan KP Jabatan Penyiaran hujung bulan ini | CelcomDigi secara rasmi lantik Albern Murty sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa hari ini | Axiata Group Bhd lantik Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil bagi menggantikan Vivek Sood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, berkuat kuasa 1 Jun, 2026. | 16 jenis barangan dikawal harga, empat barangan ditambah dalam senarai bagi Sabah, Sarawak dan Labuan - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina ditetapkan selama sembilan hari dari 13 hingga 21 Februari - Armizan | 

Ringgit Dibuka Rendah Susulan Pengukuhan Dolar US

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga pada Selasa dengan lebih rendah berbanding dolar US yang mengukuh, disokong oleh kenaikan semula dalam Indeks Dolar AS (DXY) daripada penurunan baru-baru ini.

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan di paras 4.4590/4700 berbanding mata wang Amerika Syarikat (AS) daripada 4.4495/4570 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran telah memberi respons positif berikutan berita mengenai pengurus dana lindung nilai, Scott Bessent yang mengetuai Jabatan Perbendaharaan AS.

Beliau berkata perkembangan itu telah memupuk sentimen mengambil risiko.

“Ringgit mungkin mendapat manfaat daripada potensi peralihan yang mungkin berlaku daripada dolar AS kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun lain,” katanya kepada Bernama.

Ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.5862/6000 daripada 5.5939/6033 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6548/6662 daripada 4.6662/6741 ketika ditutup pada Isnin.

Bagaimanapun, ia turun berbanding yen Jepun kepada 2.8880/8955 daripada 2.8811/8861.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3032/3118 daripada 3.3028/3088, turun berbanding peso Filipina kepada 7.56/7.58 daripada 7.54/7.56 dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 280.7/281.5 daripada 280.1/280.7 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia naik berbanding baht Thailand kepada 12.8361/8818 daripada 12.8390/8670 sebelum itu.

-- BERNAMA